Krishnasamy Veloo pernah dinobatkan sebagai hero bersama ahli pasukan bola sepak Harimau Malaya yang lain selepas berjaya menyertai Olimpik buat pertama kalinya di Munich pada tahun 1972.
Walaupun pasukan ini kalah dengan pasukan Jerman Barat (3-0) dan Maghribi (6-0), dorang berjaya mengalahkan pasukan Amerika Syarikat (3-0) sekaligus membuka mata negara-negara lain.
Krishnasamy yang merupakan seorang pemain tengah ketika itu telah dijadikan pemain simpanan ketika perlawanan bersama Jerman Barat dan Maghribi. Tapi dia dapat bermain ketika menentang pasukan Amerika Syarikat di mana hero negara ini memenangi perlawanan tersebut. Namun, mana Krishnasamy sekarang?
Menurut New Straits Times, bekas pemain Harimau Malaya yang sudah pun berusia 71 tahun kini tinggal di rumah penjagaan orang tua di Pulau Pinang dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,100. Lebih menyedihkan, yuran ini hampir tak mampu dibayarnya.
Bukan tu saja, kaki kiri yang pernah menjadi senjata ketika dia menjadi wakil negara satu ketika dahulu kini telah pun dipotong akibat penyakit diabetes, sementara pendengaran dan penglihatannya semakin menghilang.
Kalau korang nak tahu, Krishnasamy tak beli rumah dulu semasa kariernya sedang melonjak kerana dia duduk di kuarters kerajaan. Sekarang, isterinya yang sedang sakit tinggal dengan anak perempuannya sementara anak-anaknya yang lain tak boleh nak menjaga dia kerana mempunyai keluarga sendiri.
Mujurnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia telah berikan sedikit pertolongan manakala Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan berjanji untuk menolong lelaki ini.
Pun begitu, sedih bila kita tengok penderitaan yang ditanggung oleh Krishnasamy ni lepas apa yang dia dah sumbangkan untuk Malaysia satu ketika dulu.
Kalau korang nak tolong Krishnasamy, korang boleh contact dia dekat +6017-555 5294.
Lumrah manusia kan, habis madu, sepah dibuang.