Seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan oleh pihak berkuasa Singapura kerana merancang untuk membunuh jemaah di dua masjid di negara itu pada 15 Mac nanti, bersempena dengan ulang tahun serangan keganasan ke atas masjid di Christchurch.
Menurut laporan, remaja itu ditahan di bawah undang-undang keselamatan dan dan menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, remaja itu merupakan tahanan pertama didorong ideologi ekstremis kanan serta individu termuda ditahan di bawah undang-undang berkenaan.
Dia meradikalkan dirinya, dimotivasi antipati kuat terhadap Islam dan tertarik kepada keganasan. Dia menonton video siaran langsung serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand serta membaca manifesto penyerang, Brenton Tarrant.”
Pihak berkuasa turut mendapati remaja terbabit ada melukis peta untuk laluannya dan menurut Coconuts, dia memilih dua masjid iaitu Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak kerana kedua-duanya terletak berdekatan dengan rumahnya di utara Singapura.
Bukan itu saja, dia juga telah membeli jaket kalis peluru serta merancang untuk membeli parang melalui aplikasi dalam talian serta berniat untuk menyiarkan serangannya secara langsung melalui kamera yang diletakkan di jaket itu. Menurut pihak berkuasa juga, remaja itu merancang menggunakan kad kredit bapanya bagi menyewa kereta untuk bergerak ke dua masjid itu yang terletak hanya 10 minit antara satu sama lain.
Pada mulanya, dia merancang untuk mendapatkan senjata dan mempelajari kaedah membuat bom untuk meniru rancangan Tarrant membakar masjid dengan petrol. Namun, dia membatalkan hasratnya itu selepas menyedari Singapura mempunyai undang-undang ketat kawalan senjata api.
Dia mengaku dapat meramalkan dua pengakhiran daripada perancangannya itu — sama ada dia ditangkap sebelum melakukan serangan atau dia berjaya melaksanakan rancangan itu dan dibunuh oleh polis.”
Difahamkan, remaja itu merancang semua itu berseorangan dan tiada ahli keluarga mahu pun rakannya yang terlibat. Malah, mereka juga langsung tidak sedar bahawa remaja itu mempunyai rasa benci terhadap Islam dan merancang berbuat sedemikian.
Kata pihak berkuasa, remaja itu akan menyambung pengajiannya sementara dalam tahanan dan bakal menghadiri sesi kaunseling.