Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan untuk menggantikan hukuman mati yang dikenakan terhadap seorang bekas penuntut universiti kepada hukuman penjara selama 40 tahun. Keputusan itu dibuat atas kesalahan membunuh dan membakar kekasihnya yang sedang hamil, dalam satu kejadian tragis tiga tahun lalu.
Keputusan sebulat suara tersebut diumumkan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah, bersama-sama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, menjalani hukuman penjara berkenaan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Mei 2023.
Artikel bekaitan: Bunuh Kekasih Hamil, Pemuda 20 Tahun Berdepan Hukuman Mati
Artikel berkaitan: Keluarga Wanita Hamil Dibakar Kekasih Harap Pelaku Diberikan Hukuman Setimpal
“Mengambil kira umur muda perayu sewaktu kejadian, terdapat pilihan dalam Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, jadi mahkamah dengan ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dari tarikh tangkap dan 12 kali sebatan,” katanya.
Rayuan Pihak Pembelaan Dan Hujah Pendakwaan

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Muhammad Nor Tamrin, berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Klang sebelum ini telah terkhilaf kerana menjatuhkan hukuman yang terlalu berat ke atas anak guamnya, memandangkan perayu hanya berusia 20 tahun empat bulan ketika kejadian berlaku.
“Mahkamah Tinggi sudah menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati selepas perayu membuat pengakuan bersalah, sebelum perbicaraan bermula.
Dalam rayuan ini, hanya terdapat satu isu saja iaitu sama ada hukuman yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Tinggi di Klang adalah satu hukuman yang terlalu berat,” hujah peguam berkenaan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, menegaskan bahawa hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Klang sebelum ini adalah wajar dan setimpal dengan tahap kekejaman jenayah yang dilakukan oleh tertuduh.
“Kami berhujah sebagaimana dinyatakan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Seksyen 293 (Kanun Tatacara Jenayah) tidak terpakai dalam kes ini kerana seksyen itu memperuntukkan bagi kesalahan dilakukan pesalah membabitkan hukuman denda atau penjara, manakala dalam kes ini, hukuman yang boleh dijatuhkan adalah hukuman mati,” tegasnya.
Di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, pihak mahkamah kini diberikan kuasa budi bicara untuk memilih sama ada mahu mengenakan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun. Bagi pesalah lelaki berumur bawah 50 tahun yang terlepas daripada hukuman mati, mereka wajib berdepan dengan hukuman sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Kronologi Sabitan Terdahulu
Untuk rekod, pada 15 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Klang telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Muhammad Fakrul Aiman selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya atas pertuduhan membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21.
Hakim Norazlin Othman dalam penghakimannya ketika itu menyatakan bahawa mahkamah berpuas hati dengan pengakuan tanpa syarat yang dibuat oleh tertuduh, selain memperakui kebenaran segala fakta kes serta eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Beliau turut menekankan bahawa tindakan kejam yang dilakukan oleh tertuduh merupakan sebahagian daripada jenayah yang telah dirancang dengan teliti, bukannya satu tindakan yang bersifat spontan, sekali gus menuntut satu hukuman yang sangat berat.
Berdasarkan lembaran pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh mangsa di Jalan Sungai Limau, Sabak Bernam, antara jam 8.30 malam 22 Mei hingga jam 8 pagi, 23 Mei 2023.
Sumber: Berita Harian
