Jika sebelum ini, mahkamah diberitahu kecederaan lecur yang dialami remaja sindrom Down, Bella adalah akibat terkena air panas dari mesin penapis air, semalam, saksi yang juga seorang penghuni Rumah Bonda memberitahu perkara yang berbeza.
Menurut Astro AWANI, Yasmin Nahar Mahmood, 19, bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bahawa Bella cedera akibat tumpahan air termos.
Bella menurutnya telah bermain dengan termos itu yang berada di bilik dobi sebuah kondomimium di Wangsa Maju sebelum air di dalamnya tertumpah dan mengenai mangsa.
Semasa memberi keterangan di mahkamah, saksi pendakwaan kelima juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau ada memberitahu perkara sama (air termos tumpah) ketika beri keterangan kepada polis di lobi kondo tersebut pada 7 Julai 2021.
Tak setuju keterangannya hanya rekaan untuk penjarakan Bainun
Bila disoal peguam sama ada punca tumpahan air daripada termos disebabkan bergaduh dengan seorang lagi penghuni dikenali sebagai Balqis kerana Bella menghabiskan pencuci muka dan makanan ringan milik Balqis, Yasmin menjawab tidak pasti.
Walau bagaimanapun dia tidak bersetuju dengan cadangan peguam yang hanya termos dirampas oleh polis semasa datang ke kondominium berkenaan.
Yasmin juga tidak bersetuju bahawa kejadian tidak mahu memberi air minuman kepada remaja itu dilakukannya sambil disaksikan oleh seorang penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Siti.
Selain itu, saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa keterangannya di mahkamah adalah rekaan yang bertujuan untuk memastikan Siti Bainun dipenjarakan.
Saksi juga disoal Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berhubung kewujudan kain yang didakwa disumbat pada mulut Bella oleh Siti Bainun.
Walau bagaimanapun, saksi berkata dia tidak memaklumkan atau menceritakan kepada polis mengenai hal itu selepas Siti Bainun mengarahkannya untuk tidak berbuat demikian.
Kalau cerita (pada polis) saya kena marah, saya tidak percaya kepada mana-mana pihak pun, kain itu sudah busuk…kain sudah buang,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi akan bersambung hari ini.
Baca: Polis Buka Kertas Siasatan Kes Kematian Bayi Adam, Siti Bainun Dipanggil Beri Keterangan