Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Nubhan, mengambil pendekatan tenang apabila pencapaiannya di pentas akhir menjadi bahan ejekan segelintir netizen hanya kerana tidak berjaya merangkul gelaran juara.
Menurut Nubhan atau nama penuhnya Nubhan Ahamad, 40, dia tetap berbangga dengan kedudukan diraih kerana menyifatkan bukan sesuatu yang mudah untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.
Artikel berkaitan: Dakwa Pecah Masuk Rumah, Dr Afifah Bakal Ambil Tindakan Sivil Terhadap Nubhan
Artikel berkaitan: Nubhan Nafi Dakwaan Bibik Cium Anak Sakit, Jelaskan Situasi Sebenar
“Untuk ke peringkat akhir sahaja pun tidak mudah. Melangkah sejauh ini juga saya sudah bangga. Untuk bertahan selama 12 minggu tanpa tersingkir itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi berkenaan turut meluahkan rasa terharu atas sokongan padu peminat yang tidak pernah berhenti percaya terhadap kemampuannya sepanjang pertandingan berlangsung.
“Terima kasih yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah maksudnya mereka (peminat) percaya saya ada harapan untuk menang.
Sokongan daripada peminat sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” ujarnya.
View this post on Instagram
Mengulas kritikan juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat yang menyifatkan pemilihan lagu duetnya bersama penyanyi jemputan, Aina Abdul menerusi lagu Seluruh Cinta sebagai kurang tepat, Nubhan mengakui perkara tersebut ada kebenarannya.
“Saya hanya memilih lagu untuk persembahan solo. Aina seorang penyanyi yang sangat profesional. Dia sangat memberi sokongan kepada rakan duet ketika membuat persembahan.
Cuma mungkin saya kurang ‘memberi’ kerana lagu tersebut memang agak sukar tapi alhamdulillah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aina kerana komitmen diberi.
Saya terima saja apa-apa lagu diberikan, anggap sebagai satu tanggungjawab tanpa perlu beri banyak alasan,” katanya.
Pada malam konsert akhir itu, peserta dari Singapura, Iskandar Ismail muncul juara, manakala kumpulan Mendua dari Indonesia meraih kedudukan naib juara.
Sumber: Kosmo!
