“Bu kawan Shahir di mana?” – Mangsa Kebakaran Pusat Tahfiz Masih Tidak Tahu Rakan Terkorban

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Bukan mudah untuk menerima hakikat kehilangan seseorang yang kita sayang, tambahan pula jika kepergian mereka itu dengan cara yang tragis.

Sungguhpun sudah 18 hari tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berlalu, keluarga dan kini sahabat mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut masih payah untuk menerima kenyataan itu.

Menurut laporan Astro Awani, ibu kepada salah seorang mangsa yang terselamat terpaksa merahsiakan pemergian 21 pelajar yang terkorban dalam insiden daripada pengetahuan anaknya.

Sumber: Budak Lelaki

Nor Faizah Aripshah, 42, ibu kepada salah seorang daripada enam mangsa yang terselamat, Mohd Shahir Shaharuddin, 11, berkata, anaknya masih menganggap hanya dua guru tahfiz saja yang terkorban dan rakan-rakannya yang lain terselamat.

“Shahir nak tahu kawan-kawannya yang lain berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) mana…dia nak tengok kawan-kawan. Dia tak tahu sebenarnya mereka dah tiada, dia juga tak tahu kebakaran itu tragedi besar negara.

“Bila dia (Shahir) tanya mengenai kejadian, kami tak berani nak beritahu apa-apa…cuma kami bagi tahu, tunggu adik benar-benar pulih dahulu, baru kami cerita,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan dari kerajaan Terengganu.

Sumber: MMO

Alahai kesiannya…

Shahir kini difahamkan masih dalam proses pemulihan dan dirawat di Unit Kebakaran Hospital Kuala Lumpur selepas seminggu di ICU akibat kesan lecur pada badan. Kanak-kanak itu juga dilaporkan mengalami trauma apabila teringat mengenai tragedi berkenaan.

Sumber: Facebook

“Satu hari dia ada tengok berita mengenai kejadian, dia nangis dan trauma. Selepas itu, dia cakap dah tak nak tengok lagi berita mengenai kejadian kebakaran itu.

“Saya jaga dia setiap malam, ada masanya dia mengigau, terkejut dan bercakap mengenai tahfiz sebab dia rasa seolah-olah berada di tahfiz, bukannya hospital,” kata Nor Faizah.

Namun Nor Faizah bersyukur kerana tahap kesihatan anaknya semakin stabil dan beransur pulih setelah dua minggu berada di ICU. Cuma pihak hospital harus merawat bahagian kulitnya dahulu sebelum membuat rawatan susulan di bahagian pinggul mangsa yang retak.

Malah katanya lagi, kesihatan dalaman anaknya juga kian pulih. Walau bagaimanapun, kanak-kanak tersebut masih tidak mampu berdiri dan bergerak terlalu banyak.

“Nak bagi pulih semangatnya, saya panggil kawan dia datang untuk bagi sokongan, sebab dia minta nak jumpa kawannya… saya ada hubungi kawannya dan mereka datang melawat Mohd Shahir,” katanya lagi.

Sumber: Facebook

Khamis lalu, dua remaja yang masing-masing berusia 16 tahun telah didakwa Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru tahfiz dalam kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung.

Diharapkan semoga adik Shahir bertabah apabila mengetahui berita yang sebenar mengenai sahabat-sahabatnya. Semoga cepat sembuh dik! 

Baca: Ibu Hilang Tiga Anak Serentak Dalam Kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Syaida Ismail

Seorang yang suka berimaginasi dan amat meminati penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza. Mungkin kelihatan comel dan tidak merbahaya, namun amat menyukai novel bergenre aksi-thriller. Hati-hati!