Atas sebab beberapa faktor yang tak dapat dielakkan, penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Irama Malaysia telah tunda konsert solo pertamanya Malai Solo.
Menerusi satu kenyataan media, penyanyai 54 tahun itu menyatakan konsert yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana budaya pada 21 hingga 23 Oktober 2022 terpaksa ditangguhkan atas faktor pilihanraya yang mungkin dijalankan dalam masa terdekat serta ketiadaan pengarah muzik dan beberapa aspek lagi.
“Kemungkinan besar PRU akan diadakan pada Oktober dan November. Ia menyukarkan penyusunan aturcara konsert dari aspek jemputan tetamu VIP termasuk menteri serta wakil dari pihak kementerian yang menjadi salah satu tunggak utama kepada penganjuran acara ini.”
“Selain itu, pengarah muzik iaitu Datuk Ramli Mohd Saleh (Ramli MS), yang terlibat dalam Penjurian Program Televisyen Gegar Vaganza musim yang ke-9. Pihak Astro tidak membenarkan Ramli MS untuk terlibat dengan produksi luar ketika masih berada dalam kontrak bersama pihak Astro.”
“Noraniza Idris juga gagal mengurangkan beberapa komitmen aktiviti seninya hingga menjejaskan kesihatan sekali gus mengganggu jadual latihan yang telah ditetapkan lebih awal.”
Walaubagaimanapun, Getaran melaporkan bahawa masih belum ada tarikh baru dikongsikan oleh pihaknya setakat ini.
Untuk rekod, Konsert Malai Solo yang dijadualkan berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya selama tiga malam merupakan konsert terakhir Noraniza Idris dengan menggunakan khidmat 300 individu termasuklah pemuzik, pasukan budaya dan kumpulan tenaga kreatif yang lain.
Tiket konsert dijual bermula pada harga RM299 sehingga RM1,599.