Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan untuk mengadakan pertemuan dengan platform e-dagang susulan kebimbangan mengenai kegiatan penjualan dadah secara dalam talian, termasuk fentanil dan bahan yang dikenali sebagai ‘piu-piu’.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan selepas beliau menerima mesej daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai gejala berkenaan yang dilihat semakin membimbangkan.

Jadi saya mengarahkan pihak MCMC supaya mengadakan pertemuan dengan salah satu daripada platform yang dilihat terbabit dalam penyalahgunaan rangkaian yang membolehkan dadah seperti fentanil atau disebut sebagai piu-piu, dijual di Malaysia.
“Selepas ini Pengerusi MCMC dan pasukan mesti berlaku adil tapi bertindak tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Cyberjaya.
Sesi tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Apa sebenarnya ‘piu-piu’?

Bagi korang yang mungkin pertama kali dengar istilah ni, ‘piu-piu’ merujuk kepada dadah sintetik yang dicampurkan ke dalam cecair vape.
Menurut laporan Scoop, pihak polis mendapati kesannya sangat kuat sehingga pengguna yang mengambil bahan berkenaan digambarkan boleh bertindak seperti ‘zombie’.
Malah, jumlah kes yang direkodkan juga menunjukkan isu ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Sehingga 10 Jun 2026, sebanyak 168 kes dengan 267 tangkapan direkodkan membabitkan cecair vape bercampur dadah sintetik. Sebagai perbandingan, sepanjang tahun 2025, sebanyak 108 kes dengan 138 tangkapan direkodkan.
Turunkan iklan cepat sahaja mungkin tidak mencukupi
Bila dadah boleh dipasarkan melalui platform digital, antara perkara pertama yang mungkin terlintas adalah berapa cepat sesuatu iklan atau penyenaraian boleh diturunkan selepas dikesan.
Memang penting untuk platform bertindak pantas, tapi isu yang lebih besar adalah bagaimana penjualan barang terlarang seperti ini boleh muncul di platform tersebut sejak awal.
Kalau satu penyenaraian diturunkan tetapi penjual sama boleh membuka akaun baharu dan memuat naik produk yang sama beberapa jam kemudian, masalah itu sebenarnya masih belum selesai.
Sebab itu, selain tindakan ‘takedown’, sistem pencegahan dan pemantauan penjual juga memainkan peranan penting.
Sekat kata kunci sahaja belum tentu boleh halang penjual
Antara kaedah yang biasa digunakan untuk mengesan penyenaraian mencurigakan adalah melalui penapisan kata kunci.
Masalahnya, penjual yang mahu mengelak daripada dikesan juga boleh menggunakan pelbagai cara seperti menukar ejaan, menggunakan istilah lain, emoji atau kod tertentu untuk memasarkan produk mereka.
Bila satu akaun disekat pula, mereka mungkin boleh kembali menggunakan akaun baharu atau akaun palsu sekiranya proses pendaftaran penjual tidak cukup ketat.
Jadi, isu ini bukan hanya tentang kata kunci apa yang perlu disekat.
Mekanisme pengesahan penjual, pemantauan akaun serta bagaimana platform mengesan cubaan berulang untuk menjual barangan terlarang juga perlu diberi perhatian.
Bila platform disalah guna untuk jual dadah, siapa perlu bertanggungjawab?

Dalam situasi seperti ini, isu akauntabiliti juga mula menjadi persoalan.
Platform e-dagang mungkin berfungsi sebagai perantara yang menyediakan ruang kepada penjual dan pembeli, bukannya pihak yang menjual produk tersebut secara langsung.
Namun, apabila ruang yang disediakan disalahgunakan untuk aktiviti jenayah termasuk penjualan dadah, tanggungjawab untuk memastikan perkara itu tidak terus berlaku juga tak boleh diletakkan kepada pengguna dan pihak berkuasa semata-mata.
Pada masa sama, tindakan terhadap satu platform sahaja mungkin tidak mencukupi sekiranya modus operandi sama boleh berpindah ke platform lain.
Sebab itu, standard pemantauan yang konsisten merentas platform juga penting supaya penjual tidak sekadar berpindah tempat setiap kali satu ruang ditutup.
Internet makin mudah diakses, aspek keselamatan pun kena bergerak sama
Dalam ucapannya, Fahmi turut menegaskan usaha memperluaskan capaian Internet termasuk ke kawasan luar bandar perlu disertai dengan langkah memastikan rangkaian tersebut selamat dan digunakan secara bertanggungjawab.
Menurutnya, penyalahgunaan platform e-dagang untuk menjual dadah bukan sahaja boleh memberi kesan kepada golongan muda, malah berpotensi membawa masalah sama ke kawasan luar bandar.
Yang Amat Berhormat, kita sediakan Internet yang baik, kita lengkapkan dengan PKD dan NADI, kita nak rapatkan jurang antara kawasan luar bandar, kawasan pinggir bandar dan bandar.
“Tapi sekiranya rangkaian komunikasi ini tidak selamat dan pengguna juga kurang arif, kurang fasih untuk menjaga keselamatan diri, hanya jualan dadah boleh pergi ke merata tempat,” katanya.
Selain dadah, beliau berkata pelbagai bentuk penyalahgunaan lain termasuk penipuan dalam talian atau scam juga boleh berlaku sekiranya tahap keselamatan dan literasi digital pengguna tidak dipertingkatkan.
Buat masa ini, MCMC dijangka mengadakan pertemuan dengan platform yang terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Apa yang penting, tindakan menurunkan sesuatu penyenaraian hanyalah satu bahagian daripada penyelesaian. Kalau penjual yang sama masih boleh kembali dengan akaun, nama produk atau kod baharu, penjualan tersebut berisiko muncul semula.
Sebab itu, persoalan yang lebih besar selepas ini adalah sejauh mana platform e-dagang mampu memperketatkan sistem mereka supaya produk terlarang seperti ini bukan sahaja cepat diturunkan, tetapi dapat dihalang daripada dijual sejak awal.
Sumber: Scoop, Harian Metro
