Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila mendapat tahu anak mereka dilahirkan dengan kecacatan fizikal. Menerima kehadiran anak istimewa dengan rasa terkejut dan redha, ibu bapa seorang kanak-kanak di Georgetown ini kini sangat berbangga dengan kebolehan anak kesayangan mereka.
Menurut Malaysian Digest, kanak-kanak dikenali sebagai Zy Kher Lee menjadi kebanggaan keluarga kerana kemahirannya untuk berenang seperti manusia normal. Kanak-kanak berusia 12 tahun itu dilahirkan dengan tangan kiri sempurna, separuh tangan kanan, tiada kaki kanan dan kaki kiri cacat dengan hanya tiga jari.
Mula diperkenalkan dengan sukan renang sewaktu berusia tujuh tahun, Zy mengakui bahawa dia sebenarnya takutkan air. Pun begitu, anak kecil ini mula jatuh cinta dengan sukan renang selepas mengikuti kelas renang Penang Sports Club dua minggu sekali dan memasang cita-cita nak jadi perenang paralimpik mewakili negara pada Sukan Paralimpik 2020. Wow!
“Berenang buat saya rasa normal. Saya suka berenang. Mula-mula saya takut air. Awal-awal tu agak susah, tapi lepas belajar berenang dengan bapa dan jurulatih, saya jatuh cinta dengan sukan ni,” kata Zy.
Zy yang kini bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Perempuan Cina di Jalan Gottlieb memberitahu dia tak pernah malu dengan kekurangan yang dimiliki dan sentiasa menganggap bahawa dia normal macam kanak-kanak lain. Bapanya juga tidak pernah menjadikan kekurangan Zy sebagai halangan untuk anaknya meneroka dunia luar.
Juga ada impian nak jadi ahli silap mata, Zy sudah menguasai empat teknik berenang termasuk renang kupu-kupu dan kuak lentang. Adrian Chan, jurulatih Zy memaklumkan bahawa anak kecil ini sangat berpotensi untuk menjadi perenang paralimpik kerana kesungguhan yang ditunjukkan untuk menyertai Sukan Paralimpik 2020.
Menurut Adrian, Zy juga pernah memenangi satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada Para Circuit Swimming Tournament yang diadakan di Alor Setar, Kedah tahun lalu.
Wah, dahsyatnya! Semoga adik Zy berjaya mengejar cita-cita nak jadi atlet paralimpik!
Baca: Pelajar Autisme Buktikan Kekurangan Bukan Halangan, Kini Wakili Malaysia Ke Luar Negara