Baru saja diselubungi misteri bunyi ketukan pintu dan kali ini sekali lagi penduduk di Pandamaran Jaya, Klang dihantui benda yang lebih kurang sama.
Menurut Kosmo, penduduk di situ mendakwa terdengar bunyi seperti ada yang berlari di atas bumbung rumah mereka. Kata mereka, bunyi itu terlalu kuat bagai nak runtuh bumbung dan ia menakutkan penduduk terutamanya yang tinggal di Jalan 77.
Salah seorang penduduk, Fara Niesha Azman, 28, berkata pada mulanya dia dan suami terdengar bunyi ketukan pintu. Ketika itu kira-kira jam 11.30 malam dan mereka sedang bersiap-siap untuk tidur di tingkat atas.
“Ketukan pertama dan kedua hanya sekejap tetapi ketukan ketiga paling kuat. Malah selang beberapa saat kami terdengar bunyi orang menggoncang pintu dengan kuat.”
“Suami turun ke bawah untuk memeriksa bunyi tersebut bagaimanapun mendapati pintu rumah ibu saudara, Mariam Othman, yang berada di sebelah rumah kami yang diketuk.”
Tiba-tiba bunyi orang lari pula!
Bagaimanapun, selang beberapa saat pasangan itu terdengar pula bunyi seperti ada ‘makhluk’ yang berlari dengan kuat di atas bumbung rumah.
Bukan hanya mereka, menurut Fara ibu saudaranya juga turut dengar bunyi yang sama di rumah dan rupa-rupanya penduduk lain turut alami situasi yang sama.
Bunyi itu amat menakutkan. Saya hubungi ibu saudara (Mariam) dan dia memaklumkan terdengar bunyi yang sama.”
Apa yang kami alami rupanya turut dilalui beberapa penduduk lain dan perkara itu diketahui melalui aplikasi WhatsApp keluarga.”
Bunyi kuat macam orang bertukang
Menurut Mariam pula, sewaktu kejadian kira-kira 11.35 malam itu dia terdengar bunyi ketukan ketika berada di tingkat atas. Namun, suaminya yang ketika itu di tingkat bawah berkata dia tidak mendengar apa-apa.
Selang beberapa saat, mereka berdua dengar bunyi orang berlari atas bumbung rumah. Mariam turut bertanya kepada 2 jiran bersebelahan rumah dan mereka berkata ada terdengar bunyi orang bertukang dengan kuat dari arah rumahnya (Mariam) sehinggakan tidur mereka terganggu.
Hasil makluman jiran, mereka difahamkan hampir 10 rumah diganggu pada malam kelmarin melibatkan Jalan 6,11 dan 12. Pihak polis dikatakan telah melakukan rondaan bersama penduduk selepas kejadian yang sama berlaku beberapa hari lalu.
Sebelum ini, kecoh tentang misteri ketukan pintu rumah yang bermula di beberapa kampung dekat Sabak Bernam. Misteri itu kemudian merebak ke Kuala Selangor, Klang dan Melaka sejak beberapa hari lepas.