Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menyambut baik Belanjawan 2026 yang menumpukan kepada rakyat sebagai teras kemajuan digital negara.
Tambah CFM lagi, belanjawan ini merupakan komitmen kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur digital Malaysia melalui peningkatan kesalinghubungan, keselamatan data, akses kesihatan digital yang lebih baik, dan pemerkasaan inklusif.
Puan Yap Yoke Har, Pengerusi CFM, menyatakan bahawa Belanjawan 2026 jelas mencerminkan tekad kerajaan untuk memastikan setiap pengguna mendapat manfaat daripada kemajuan digital.
Tambahnya lagi, inisiatif yang diumumkan bukan sahaja bertujuan untuk memperluas capaian dan kemampuan, tetapi juga memberi fokus kepada aspek keselamatan digital, keterangkuman, serta membina kepercayaan pengguna bagi jangka masa panjang.
Antara inisiatif utama yang disokong oleh CFM termasuklah:
- Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM): Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan kelajuan dan kebolehpercayaan internet di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan mengurangkan jurang digital antara Malaysia Timur dan Semenanjung, membolehkan pengguna menikmati penstriman tanpa gangguan, pembelajaran atas talian yang lancar, serta akses lebih mudah kepada pelbagai perkhidmatan digital.
- Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI): Penekanan terhadap NADI akan membuka peluang baharu kepada komuniti luar bandar untuk memperkukuh kemahiran digital dan ekonomi melalui keusahawanan dalam talian. Ini akan menjadikan mereka bukan sekadar pengguna, tetapi juga pencipta dan penyumbang dalam ekonomi digital negara yang semakin berkembang.
- Sistem Amaran Awal (EWS): Sistem ini dapat memastikan maklumat keselamatan sampai kepada pengguna dengan lebih pantas melalui saluran digital semasa bencana dan kecemasan.
- Penambahbaikan Kesalinghubungan Kesihatan: Peruntukan untuk menambah baik kesalinghubungan internet di hospital dan klinik awam akan memperluas akses kepada perkhidmatan telekesihatan dan rawatan digital, khususnya di kawasan luar bandar. Langkah ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam dan mengurangkan jurang perkhidmatan antara bandar dan luar bandar.

CFM juga berpendapat bahawa kemajuan digital mesti seiring dengan pemerkasaan pengguna.
Dalam era digital ini, pengguna perlu memainkan peranan aktif dengan menjadi celik maklumat, bijak membuat pilihan, dan sentiasa berwaspada terhadap risiko dalam talian. CFM menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk menjadi pengguna yang bijak, memahami hak, mengamalkan keselamatan digital, dan memanfaatkan sepenuhnya peningkatan kesalinghubungan serta perkhidmatan di bawah Belanjawan 2026.
Selain itu, CFM akan meneruskan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan pihak berkepentingan lain bagi memperkukuh perlindungan pengguna, menyelesaikan isu perkhidmatan komunikasi dan multimedia, serta memupuk budaya penggunaan digital yang bertanggungjawab dan berinformasi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Untuk pengetahuan, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada 13 Februari 2001, selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) sebagai forum industri yang memudahkan kawal selia kendiri melalui advokasi dan melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut.
Artikel berkaitan : Belanjawan 2026: Ini Intipati Pembentangan Yang Korang Patut Tahu
Artikel berkaitan : “Takutnya sampai jadi macam tu” – Fahami Risiko Prompt AI Gambar Sendiri, Ini Sisi Gelap Yang Ramai Tak Tahu
CFM turut membantu menyelesaikan aduan mengenai perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia.
Justeru, pengguna dialu-alukan untuk mengemukakan aduan yang tidak diselesaikan mengenai perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia melalui:
- PORTAL ADUAN: https://aduan.mcmc.gov.my (sistem bersepadu dengan MCMC)
- TALIAN MCMC CONSUMER CARE CENTRE (MCMC 3C): 1800 188 030
- EMEL: aduan@cfm.my
- HADIR BERSEMUKA: MCMC Tower 2, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Selangor