Isu penyelewengan wang melibatkan pegawai kerajaan dan juga ahli politik bukanlah sesuatu yang asing dan kebanyakan kes ini sedang dibongkarkan di mahkamah.
Terbaru, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man pernah membuat tempahan percutian keluarga ke London, United Kingdom dengan kos berjumlah RM687,785.40 menerusi kerajaan negeri Perlis.
Menurut Sinar Harian, Pembantu Akaun Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd (SKTT) Fazilah Jelani, 47, berkata, bekas menteri besar berkenaan membuat tempahan tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan yang diuruskan oleh syarikat pelancongan itu pada 2013, 2014 dan 2015.
Namun, Azlan dikatakan telah membatalkan kesemua tempahan percutian itu dan bayaran balik berjumlah RM629,395.30 telah dibayar kepada Azlan menerusi cek atas nama beliau, yang jumlah tersebut telah ditolak dengan cas yuran pembatalan.
Tambah Fazilah lagi, selepas menerima pesanan daripada kerajaan negeri dan bayaran telah dibuat kerajaan sepatutnya memberikan salinan pasport bagi tujuan tempahan tiket penerbangan serta hotel penginapan.
Saya kemudian dimaklumkan bahawa Datuk Azlan mahu batalkan tempahan dan minta bayaran balik,” katanya.
Artikel berkenaan: Pegawai JAIPs, Imam Masjid ‘Kaut’ Lebih RM1 Juta Rasuah Untuk Pengurusan Pernikahan Di Perlis
Artikel berkenaan: 2 Polis Bukit Aman Didakwa Terima Rasuah RM1.25 Juta Untuk Tutup Kes Beli Senjata Api Warga Israel
Berdepan 10 pertuduhan tuntutan palsu
Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu kini sedang berdepan dengan 10 pertuduhan mengemukan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Lima pertuduhan itu berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut yang berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Hal itu membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel &Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Azlan juga sebelum ini turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan boleh didenda lima kali nilai hasil atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan ini akan disambung pada 21 Ogos di hadapan Hakim Azura Alwi.
Sumber: Sinar Harian