Nepal melakar sejarah apabila bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki, 73, dipilih sebagai Perdana Menteri interim wanita pertama negara itu selepas peletakan jawatan KP Sharma Oli dan beberapa menterinya susulan gelombang protes besar-besaran anti-rasuah yang melanda seluruh negara.
Memetik laporan Independent UK, krisis politik itu tercetus selepas tindakan kerajaan mengharamkan beberapa platform media sosial popular, termasuk Facebook dan Instagram, yang mencetuskan kemarahan generasi muda. Protes yang bermula sebagai bantahan dasar kerajaan kemudian berkembang kepada isu lebih luas, termasuk rasuah dan pengangguran. Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh manakala lebih 1,300 cedera akibat pertembungan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Dalam suasana kekosongan kuasa, aktivis muda menggunakan aplikasi komunikasi Discord untuk mengadakan undian bagi memilih pemimpin sementara. Hasil perbincangan yang diikuti lebih 145,000 peserta itu, Karki muncul sebagai calon utama berikutan reputasinya yang tegas menentang rasuah. Presiden Ramchandra Paudel bersama Ketua Tentera Nepal, Jeneral Ashok Raj Sigdel, kemudiannya mencapai kata sepakat dengan wakil pergerakan anak muda untuk melantik beliau.
Karki dikenali sebagai tokoh kehakiman berprinsip tegas yang pernah mengendalikan kes rasuah membabitkan seorang menteri serta membuat keputusan berani membatalkan pelantikan Ketua Polis Nepal. Namun, ketegasannya turut menimbulkan kontroversi apabila beliau berdepan usul pemecatan pada 2017, sebelum akhirnya disokong rakyat yang mahukan kebebasan kehakiman dipertahankan.
Sebagai langkah awal selepas memegang jawatan, Karki membubarkan Parlimen Nepal dan menetapkan pilihan raya umum pada 5 Mac 2026. Keputusan itu dianggap sebagai usaha memulihkan mandat rakyat dan membawa kestabilan politik selepas beberapa minggu huru-hara, termasuk serangan terhadap pejabat kerajaan, kediaman ahli politik, dan kerosakan harta awam.
Nepal kini berusaha kembali pulih dengan pihak berkuasa melonggarkan perintah berkurung, polis mula menjalankan operasi semula di Lembah Kathmandu, manakala Mahkamah Agung serta institusi kewangan dijadualkan beroperasi secara berperingkat selepas turut terkesan dalam gelombang protes.
Baca: Isteri Bekas Perdana Menteri Nepal Meninggal Dunia Lepas Rumah Dibakar Penunjuk Perasaan