Kemelut rumah tangga yang melibatkan penyanyi, Sam Bunkface bersama bekas isterinya, Aida Azira Hussin masih belum menemui titik noktah apabila Aida tidak bersetuju dengan jumlah nafkah anaknya sebanyak RM1,300 dikurangkan.
Menurut Aida, jika jumlah tersebut dikurangkan dia terpaksa mengurangkan makanan, permainan selain harus menanggung aspek lain seperti menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk anaknya itu.
Aida menjawab sedemikian ketika disoal balas peguam syarie, Liyana Sihar yang mewakili Sam selaku plaintif pada perbicaraan pindaan tuntutan nafkah anak di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Aida turut memberitahu mahkamah, RM1,300 yang diperoleh daripada Sam sebelum ini digunakan untukan membayar keperluan anak mereka termasuk insurans, perubatan dan makanan.
Sam Bunkface harapkan keadilan
Dalam pada itu, Sam selaku plaintif yang menuntut pindaan tersebut daripada Aida juga menyerahkan hak sepenuhnya kepada hakim untuk menentukan keputusan kes berkenaan.
“Harapan saya ialah keadilan diberikan. Saya cuma mencari keadilan dan insya-Allah mahkamah yang mulia ini akan tentukan,” katanya.
Namun, Sam enggan mengulas lanjut mengenai perbicaraan kes yang masih lagi berjalan di mahkamah.
“Saya tiada apa-apa nak cakap. Kalau saya nak cakap sesuatu, saya akan beri kenyataan besar punya. Selain daripada itu, sila tanya pihak Aida,” katanya.
Sehubungan itu, Aida enggan memberi sebarang kenyataan kepada pihak media berkenaan perbicaraan yang berlangsung semalam.
Dia berpendapat, Maleeq tidak akan mendapat kehidupan yang sempurna jika nafkah yang diberikan Sam dikurangkan jumlahnya.
April lalu, Sam menepis tuduhan Aida mengenai dakwaan mengabaikan tanggungjawab terhadap Maleeq.
Dia turut memberitahu, punca pindaan nafkah anak mereka dua tahun lepas, daripada RM1,300 kepada jumlah yang mampu dilunaskan adalah kerana ia berlaku pada musim PKP.
Baca : Peguam Syarie Jelaskan Perkara Yang Sepatutnya Sam Patut Lakukan Kalau Tak Nak Berjauhan Dengan Anak