in

Banjir Johor: Wanita Ditemui Lemas Dalam Kereta, Dihanyut Arus Deras

Wanita Lemas Kereta Banjir Johor

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang lagi mangsa yang maut akibat banjir di Johor iaitu seorang wanita berusia 24 tahun ditemui lemas dalam keretanya di Jalan Nitar Utama, Mersing.

Memetik sumber Berita Harian, pihak bomba berkata mayat wanita itu ditemukan dalam kereta pada jam 10.19 malam tadi, selepas keretanya ditemukan pada jam 6.55 petang semalam.


Kereta Perodua Myvi berwarna kelabu milik mangsa berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan vehicle rockery system, yang mengambil masa kira-kira 40 minit.

Kereta mangsa ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan terbalik pada jarak 15 meter daripada lokasi dia dilaporkan hilang.

Difahamkan, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang dan memandu di jalan raya yang telah dinaiki air sebelum dihanyutkan arus deras bersama-sama kereta yang dipandunya.

Ketika kejadian, paras air di jalan raya lebih kurang tiga kaki manakala kedalaman cerun di kawasan tersebut dianggarkan 20 kaki.

Kejadian ini telah menyebabkan jumlah mangsa yang maut akibat banjir di negeri ini bertambah kepada lima orang.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula menunjukkan beberapa daerah menunjukkan amaran hujan berterusan tahap waspada iaitu Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Manakala sebanyak 14 sungai di tujuh daerah telah diletakkan bawah kategori paras air berbahaya antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Johor.

Situasi banjir di negeri ini terus kritikal apabila terdapat lebih 49 ribu mangsa ditempatkan di 268 pusat pemindahan sementara (PSS) sejak semalam.

Baca: [VIDEO] Wee Ka Siong Kesal Makanan Untuk Mangsa Banjir Kurang Kualiti Di PPS Johor

Ft Wee Ka Siong Banjir Pps

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.