Kemelut perselisihan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia nampaknya telah menjadi topik hangat di media sosial sehinggakan ramai pihak mahukan kedua-duanya mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah bersama.
Pun begitu, menurut Berita Harian, BAM dilaporkan memberikan tawaran gaji sebanyak RM1 juta setahun kepada Lee Zii Jia dalam usaha memujuknya untuk tidak meninggalkan badan induk itu.
Tawaran balas ini dikatakan berlaku ketika sesi rundingan yang diadakan pada 11 Januari selepas pemain badminton berkenaan meletak jawatan untuk bergerak sebagai profesional.
“Datuk Lee Chong Wei pun tidak pernah mendapat tawaran sedemikian”
Hal ini juga menurut sumber, pertama kali berlaku dalam sejarah BAM dengan mengemukakan tawaran yang cukup lumayan kepada pemain di bawah naungannya.
Datuk Lee Chong Wei (bekas jaguh perseorangan lelaki negara) yang menyumbang pelbagai kejayaan kepada negara ketika bergelar pemain pun tidak pernah mendapat tawaran sedemikian.
“Ini membuktikan betapa BAM cukup sayang kepada Zii Jia dan menghargai bakat yang dimilikinya. Zii Jia disifatkan sebagai aset penting kepada BAM,” katanya.
Walau bagaimanapun, tawaran ini juga menurutnya tidak setanding dengan apa yang ditawarkan kepada Lee Zii Jia sekiranya dia bergerak secara profesional.
BAM sebagai persatuan menurutnya, mempunyai kekangan dan tidak boleh memberi tawaran di luar kemampuan tapi sudah buat yang terbaik bagi mengekalkan pemain tersebut.
“Namun, pemain itu kekal dengan pendiriannya dan tetap mahu keluar daripada BAM,” katanya.
Jika terima tawaran, Zii Jia akan dibayar RM83,333 sebulan
Kata sumber lagi, jika Lee Zii Jia menerima tawaran BAM, dia akan dibayar gaji RM83,333 sebulan.
Bayaran ini juga tidak termasuk dengan elaun lain yang diberikan BAM seperti barisan pemainnya yang lain, selain hadiah kemenangan jika muncul juara mana-mana kejohanan yang mana 100% akan menjadi milik pemain bersama tambahan bonus daripada badan induk itu.
Sebelum ini, kecoh diperkatakan mengenai pemain ranking nombor 7 dunia itu telah menerima tawaran lumayan daripada sebuah syarikat peralatan sukan dari Taiwan yang didakwa menjadi faktor utama dia meninggalkan BAM.
Zii Jia didakwa ditawarkan sebanyak AS$400,000 (RM1.674 juta) setahun dengan tempoh kontrak selama tujuh tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM11.718 juta.
Harap-harap adalah penyelesaian terbaik bagi kedua-dua belah pihak mengenai isu ini.
Baca: Lee Zii Jia Buat Rayuan Pada BAM Untuk Selamatkan Kariernya