Selepas membuat kejutan dengan tidak menyertakan pengecas peranti bermula daripada siri iPhone 12, Apple sekali lagi bakal membuat kejutan apabila dilaporkan bakal mengeluarkan iPhone 14 tanpa slot kad SIM!
Menurut Geo News, siri ke 14 iPhone dijangkakan akan mula dipasarkan sekitar September 2022 yang mana menurut khabar angin, perubahan ketara yang bakal dilakukan oleh syarikat berkenaan adalah ‘membuang’ slot kad SIM pada peranti berkenaan.
Dalam masa yang sama, kad SIM fizikal yang digunakan sekarang akan diganti dengan eSIM bagi tujuan sambungan liputan dan ini bukanlah sesuatu yang ‘baharu’.
Salah satu portal terkenal, MacRumors turut memberitahu yang sebenarnya Apple telah menawarkan sokongan eSIM ini sejak tahun 2018 lagi selaras dengan pelancaran model iPhone XS pada September 2018.
Dalam masa yang sama, beberapa syarikat telekomunikasi dilaporkan telahpun bersedia kearah itu dengan menawarkan iPhone 13 tanpa disertakan dengan nano SIM pada separuh kedua tahun 2022 selain membolehkan pengguna mendapatkan liputan dengan menggunakan eSIM sahaja.
Tidak seperti model-model terdahulu, difahamkan iPhone 13 telahpun disertakan dengan kebolehan sokongan dwi-SIM menggunakan modul eSIM tersebut dan pada model-model terkini, pengguna iPhone kini boleh mempunyai dua jaringan berbeza tanpa menggunakan nano SIM.
Selain itu, perubahan ketara ini dijangkakan akan membolehkan Apple hadir dengan rekabentuk lebih menarik selain dapat meningkatkan ketahanan air pada siri iPhone akan datang.
Baca : Tiada Pembalut Plastik, Ini Cara Baharu Pembungkusan Kotak iPhone