Sejarah pembentukan Malaysia bukan sekadar tentang bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan, tetapi turut merangkumi pengorbanan tokoh terdahulu serta nilai yang membentuk identiti rakyat berbilang kaum.
Bagi merakam perjalanan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku Jejak-Jejak Negara Bangsa terbitan Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri (PMO), pada Khamis, 22 Oktober 2026.
Menurut Akademi Kenegaraan Malaysia dalam satu kenyataan, pelancaran buku coffee table eksklusif itu berlangsung di Bangunan Parlimen sebelum Anwar mempengerusikan Mesyuarat Tatakelola Dewan Kenegaraan.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Rakam detik penting sejarah dan pembentukan identiti Malaysia
Menurut Akademi Kenegaraan Malaysia, buku tersebut merakamkan detik penting sejarah negara, pengorbanan tokoh terdahulu serta evolusi pembentukan identiti Malaysia dari era prakemerdekaan hingga pemodenan negara.
“Naskhah itu turut mengetengahkan nilai keadilan, integriti, kepelbagaian sosiobudaya dan perpaduan sebagai asas penting dalam pembinaan negara.
“Menerusi penerbitan ini, masyarakat berpeluang memahami dengan lebih mendalam perjalanan sejarah negara serta nilai yang menjadi tunjang kepada pembentukan identiti Malaysia.”
Bakal diedarkan secara percuma kepada institusi terpilih
Dalam kenyataan sama, Akademi Kenegaraan Malaysia memaklumkan bahawa penerbitan buku ini mencerminkan komitmen pihaknya dalam memperkukuh kefahaman kenegaraan dan semangat patriotisme, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Menariknya, buku Jejak-Jejak Negara Bangsa akan diedarkan secara percuma kepada perpustakaan utama, institusi pengajian tinggi, perwakilan diplomatik dan agensi awam terpilih.
Inisiatif ini bertujuan menjadikan buku berkenaan sebagai bahan rujukan serta khazanah dokumentasi negara untuk generasi masa kini dan akan datang.
Sumber: Facebook Akademi Kenegaraan Malaysia
