Dengar sahaja pasal Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan hari ini, rakyat terus berpusu-pusu ke Hospital Rehabilitasi Cheras. Keluar masuk penjara sejak 1998, ramai tak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan detik pembebasan bekas Timbalan Perdana Menteri ni.
Sebaik keluar dari hospital, Anwar terus dibawa ke Istana Negara untuk mendapat pengampunan segera daripada Yang Dipertuan Agong Sultan Muhammad V.
Dengan pengampunan penuh tanpa sebarang syarat ini, segala rekod jenayah lampau Anwar akan terpadam secara automatik.
“Tadi pengarah Sungai Buloh dan kakitangan temui saya untuk memaklumkan secara rasmi bahawa saya tak perlu tandatangan apa-apa kerana saya dibersihkan sama sekali daripada segala pertuduhan dan hukuman,” kata Anwar.
Pembebasan Anwar disambut dengan begitu meriah malah trending di laman sosial. Rakyat menyatakan rasa syukur dan teruja kerana pejuang yang mereka segani akhirnya telah bebas setelah bertahun-tahun lamanya.
Ramai juga di kalangan netizen yang nampak begitu tak sabar nak menunggu Anwar bergiat semula dalam bidang politik dan jadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 nanti. Semoga pembebasan ini akan jadi satu permulaan untuk masa depan negara yang lebih cerah.
Dalam ramai-ramai yang duk gembira sambut kepulangan Anwar ke pangkuan rakyat, ada juga yang sempat memuji kesetiaan dan kekuatan Wan Azizah. Mereka kagum dengan kecekalan Wan Azizah kerana katanya sekarang susah nak cari seorang wanita yang sangat tabah macam Timbalan Perdana Menteri kita ni.
Semoga dengan pembebasan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat sama-sama berganding bahu dengan kerajaan baru untuk memulihkan keadaan negara. Welcome back DSAI!