Beberapa bulan sebelum ini, perkhidmatan sewa khemah biru di pantai Port Dickson telah menimbulkan kekecohan di media sosial kerana ramai pengunjung pantai tersebut tidak senang apabila pemandangan pantai itu dihalang oleh khemah berkenaan.
Bermula November lalu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) tidak lagi membenarkan khemah biru untuk dipacak dan disewa di kawasan pantai itu.
Namun, terkini, BERNAMA melaporkan bahawa MPPD telah menyediakan payung pantai ala Bali di Pantai Telok Kemang untuk menggantikan khemah biru yang sebelum ini menjadi isu hangat di kawasan peranginan itu.
Dengan peruntukan sebanyak RM224,532, sebanyak 33 plot untuk payung itu disediakan di kawasan Pantai Telok Kemang sahaja.
Difahamkan, ia melibatkan keluasan 600 meter daripada 1.2 km keseluruhan pantai itu.
Menurut J Arul Kumar iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerjaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, setiap plot atau pengusaha mempunyai lapan meja, lapan payung dan 16 kerusi.
Difahamkan, plot itu perlu dikemaskan semula oleh pengusaha kerana plot itu hanya dibuka bermula 8 pagi hingga lewat petang.
Penggunaan payung pantai yang dikatakan lebih cantik dan tersusun berbanding khemah biru sebelum ini disediakan oleh pihak MPPD kerana mahu memberi jalan penyelesaian yang menang-menang kepada pengusaha dan pengunjung.
Artikel Berkaitan: Bakal Ganti Khemah Biru Dengan Payung Pantai Di Telok Kemang, Ramai Tak Setuju Dengan Rancangan MPPD?
Artikel berkaitan: Mulai 18 November Ini, Tiada Lagi Khemah Biru di Pantai Port Dickson
33 pengusaha yang terlibat dengan perkhidmatan sewa payung pantai itu juga telah menerima lesen perniagaan daripada MPPD.
Namun, sekiranya berlaku perlanggaran syarat dalam kalangan pengusaha atau situasi menjadi tidak terkawal, pihak MPPD berhak untuk membatalkan lesen perniagaan mereka.
Pihak MPPD juga telah menetapkan kepada pengusaha-pengusaha payung pantai itu bahawa harga sewaan tidak boleh melebihi RM50.
Walau bagaimanapun, untuk pengetahuan semua, operasi sewa payung pantai itu hanya dibenarkan beroperasi di dalam kawasan sepanjang 600 meter di Pantai Teluk Kemang sahaja meskipun isu khemah biru yang tular sebelum ini turut berlaku di Pantai Cermin, Pantai Telok Kemang dan Pantai Tanjung Biru.
Jadi, pantai-pantai lain yang berdekatan tidak terlibat dengan operasi sewa payung ini.
Sumber: BERNAMA