in

Al-Ma’unah: Kumpulan Ekstremis Pernah Gemparkan Negara Kerana Cuba Lancar Perang Terhadap YDP Agong 20 Tahun Lalu

Collage 4

Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-63 baru-baru ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberikan pengampunan kepada 13 bekas anggota Al-Ma’unah yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong 20 tahun lalu.

Mungkin ada antara korang yang tak pernah dengar tentang kes ini, lagi-lagi bila kes ni pun berlaku sekitar tahun 2000 dulu. Kebanyakan dari kita masa tu kecil lagi. Untuk korang yang tak tahu, jom baca pasal kumpulan pengganas yang pernah gegarkan negara ni.

Salah silah kumpulan militan Al-Ma’unah

Screenshot 2020 09 03 At 4.22.53 Pm

Kalau korang nak tahu, kumpulan Al-Ma’unah ini dipimpin oleh Mohamed Amin bin Mohamed Razali dan dikatakan ia mempunyai ahli seramai 1,000 orang termasuk dari Malaysia, Brunei, Singapura, Mesir dan Arab Saudi.

Kumpulan yang berpengkalan di Gerik, Perak ini sebenarnya dinamakan sebagai Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah yang pada asalnya ditubuhkan untuk mengajar silat, ilmu tenaga batin dan perubatan tradisional Islam.

Pengikut kumpulan ini memang sangat taksub dengan pemimpin dorang sebab Mohamed Amin ini dikatakan mempunyai ilmu silat fizikal dan batin serta boleh menyembuhkan dan memberi penyakit dari jarak jauh.

Rusuhan Sauk: Misi untuk gulingkan kerajaan Malaysia guna senjata yang dirampas dari kem tentera

Bukit Jenalik

Selepas berjaya mendapat pengikut-pengikut yang setia, Mohamed Amin kemudiannya membuat misi untuk gulingkan kerajaan Malaysia dengan memimpin kumpulan berani mati seramai 29 orang termasuk seorang Mejar dari TUDM.

Untuk mendapatkan senjata, kumpulan Al-Ma’unah ini telah membuat rancangan untuk ceroboh kem tentera dengan memakai pakaian seragam pegawai tentera kanan dan berpura-pura datang untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap senjata-senjata yang disimpan di dalam kem.

Kerana kumpulan ini datang dengan kereta Pajero menggunakan nombor plat ‘Z’ dan cara dorang berlakon macam orang atasan menjadi, tentera-tentera ni terpedaya dengan tipu helah kumpulan ini dan membenarkan kumpulan pengganas ni untuk ambil senjata dan bahan letupan. Siap ada yang tolong angkat masuk kereta lagi.

Hasilnya, dorang berjaya merampas sebanyak 114 senjata api pelbagai jenis dan 18,000 butir peluru dari dua kem tentera sebelum sembunyikan diri di hutan Bukit Jenalik, Sauk, Perak dan melatih anggota-anggotanya ini untuk menggunakan senjata di sana.

Polis kepung tempat persembunyian lepas orang kampung dengar banyak bunyi tembakan

Kisah Motosikal Disebalik Penaklukan Al Maunah Di Bukit Jenalik

Disebabkan dorang tengah bersiap-sedia nak gulingkan kerajaan, kumpulan Al-Ma’unah ini kerap berlatih nak gunakan senjata hingga bunyi tembakan ini menimbulkan rasa pelik pada orang-orang kampung yang tinggal berhampiran hutan tersebut.

Selepas mendapat laporan, anggota polis telah mengepung tempat persembunyian kumpulan Al-Ma’unah ini dan turut menghantar beberapa anggota pasukan keselamatan untuk masuk ke dalam perkhemahan kumpulan pengganas ini. Tapi, kumpulan ini berjaya menawan beberapa pegawai keselamatan dan seorang penduduk kampung yang sedang mencari buah durian berhampiran kem tersebut.

Antara yang ditawan oleh kumpulan Al-Ma’unah ini adalah Sarjan Mohd Shah bin Ahmad, Koperal Detektif Sanghadevan, seorang anggota komando Grup Gerak Khas ATM, Truper Matthews anak Medan dan seorang penduduk kampung, Jaafar bin Puteh.

Ugut nak tawan Kuala Lumpur kalau Tun M tak letak jawatan dalam masa 24 jam

Al Maunah Incident In Sauk

Berkomunikasi menerusi radio dengan pihak berkuasa, Al-Ma’unah memberitahu yang mereka akan tawan Kuala Lumpur sekiranya Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu gagal meletak jawatan dalam masa 24 jam.

Mengimbau saat ditawan, Mohd Shah Ahmad mengatakan yang mereka telah diseksa dan didera oleh kumpulan pengganas itu dan dipaksa untuk menggali parit di sekitar Bukit Jenalik untuk dijadikan benteng pertahanan sekiranya dorang diserang.

Pada waktu tengah malam pula, dorang diikat di pokok durian dan Mohd Shah juga turut dipaksa untuk mengebumikan Truper Matthews yang ditembak mati oleh Jemari Jusoh selepas mendapat arahan dari Mohamed Amin.

Pada 5 Julai pula, salah seorang anggota Al-Ma’unah, Abu Bakar Ismail telah ditembak mati oleh pasukan keselamatan dan sebagai pembalasan, kumpulan ini telah melepaskan tembakan kepada pasukan keselamatan. Semasa serangan balas ini, Saghadevan telah ditembak mati. Mohd Shah mengatakan bahawa Saghadevan telah ditembak dua kali di kepala oleh Mohamed Amin.

Jasad Saghavedan kemudiannya dikebumikan bersebelahan Truper Matthews oleh Mohd Shah dan Jaafar Puteh.

Al-Ma’unah serah diri

Jenali02.Jpg 1517787628

Keesokan harinya, pihak berkuasa kemudiannya membuat keputusan untuk menggunakan pendekatan psikologi dengan memujuk kumpulan pengganas ini untuk menyerah diri.

Hasilnya, seorang demi seorang anggota kumpulan ini menyerah diri namun sebelum Mohamed Amin menyerah, dia telah mencengkam baju Leftenan General Zaini dan cuba untuk melepaskan tembakan rambang ke arah lelaki ini, namun Zaini sempat menepis muncung senapang yang dipegang oleh Amin dan peluru tersebut tersasar ke arah salah seorang anggota Al-Ma’unah.

Ekoran ini, Zaini telah diberikan anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) kerana keberaniannya dan sumbangannya untuk mengakhiri pertempuran tersebut tanpa mengorbankan nyawa orang lain.

Serangan lain: Bom kilang arak dan kuil Hindu

Act8 650X340 1

Untuk pengetahuan korang, selain pertempuran yang berlaku di hutan Bukit Jenalik ini, Mohamed Amin juga pernah menghantar beberapa orang ahlinya untuk letupkan kilang arak Anchor dan Carlsberg yang terletak di Kuala Lumpur dan Shah Alam dan kuil Hindu di Batu Caves menggunakan bom tangan. Namun percubaan ini hanya mendatangkan kerosakan kecil.

Perbicaraan dan hukuman

09 Al Maunah

Selepas ditahan, kumpulan Al-Ma’unah dibawa ke perbicaraan atas tuduhan “melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong” mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman mati.

Kalau korang nak tahu, kumpulan Al-Ma’unah ni merupakan orang pertama yang disabit atas kesalahan ni di Malaysia tau.

Mohamed Amin dan dua pembantunya, Zahit Muslim (bekas anggota komando VAT-69) dan Jamaluddin Darus telah dijatuhkan hukuman mati manakala 16 yang lain diberikan hukuman penjara seumur hidup.

Anggota Kumpulan Al Maunah 300X194 1

Pada Jun 2003, Mohamed Amin merayu meminta hukuman matinya diganti dengan penjara seumur hidup namun ditolak.

Pada 4 Ogos 2006, ketua kumpulan Al-Ma’unah ini telah digantung sampai mati di Penjara Sungai Buloh manakala Zahit dan Jamaluddin pula telah digantung seminggu sebelumnya.

Seperti yang disebut pada awal tadi, 13 anggota Al-Ma’unah telah pun mendapat pengampunan dari YDP Agong Sultan Abdullah kerana berkelakuan baik sepanjang di penjara.

Sumber: Wikipedia

Baca: Mei 1998: Demonstrasi Bertukar Rusuhan, Mahasiswa Indonesia Paksa Presiden Suharto Undur Diri

Screenshot 2020 09 03 At 4.30.17 Pm

Sumber: Blog
Sumber: Harian Metro
Sumber: Blog