Ketika sebahagian kawasan lain di dunia sedang bergelut dengan penularan jangkitan berbahaya coronavirus, wilayah Afrika Timur pula sedang berjuang melawan serangan jutaan belalang gurun — khususnya di kawasan Habsyah, Kenya dan Somalia.
Reuters melaporkan, serangan kali ini dikatakan yang paling teruk dalam tempoh 25 tahun kerana ia mengakibatkan kemusnahan ribuan hektar ladang — sekali gus menimbulkan krisis kekurangan bekalan makanan di wilayah itu.
Difahamkan, serangan belalang gurun setakat ini telah memusnahkan hampir 70,000 hektar tanah di Somalia, menyebabkan petani kerugian besar dan kehilangan mata pencarian mereka.
Malah lebih teruk, bilangan belalang pemusnah itu juga dijangka akan meningkat 500 kali ganda menjelang bulan Jun ini.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memaklumkan, kecepatan penyebaran serangga tersebut adalah di luar kebiasaan.
Usaha untuk mengawal serangan belalang ini dengan menggunakan racun serangga juga hampir mustahil, disebabkan oleh konflik-konflik dalaman lain yang berlaku di Somalia.
Di Kenya pula, serangan kali ini merupakan yang terburuk dalam tempoh 70 tahun. Saksi mendakwa jumlah belalang ini terlalu banyak sehingga ia boleh dilihat memenuhi langit sepanjang 60 kilometer.
Keadaan yang semakin meruncing itu memaksa negara-negara terjejas meminta bantuan antarabangsa.
Baca: “Manusia boleh kawan cuaca” – 4 Ramalan Pelik Yang Didakwa Akan Berlaku Tahun 2020