Imam 3 dari Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Melaka yang dikenali sebagai Muhammad Adhan Adnan telah meletak jawatan berikutan dengan penularan video seorang lelaki yang didakwa setiausaha masjid tersebut menonton video lucah di dalam pejabat.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Muhammad Adhan sendiri menerusi surat perletakan jawatan yang bertarikh 21 Januari 2026 yang dialamatkan kepada pihak pengurusan, ahli jawatankuasa dan pegawai syarak.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Imam Didakwa ‘Kantoikan’ Individu Layan Video L*cah Dalam Masjid
Artikel berkaitan : Masjid Sultan Abu Bakar Perjelas Video Tular Pelancong Asing Dilarang Merakam Dalam Masjid
Cuba tuduh, laknat saya
Beliau memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas akur degan arahan pengerusi masjid berikutan isu salah laku setiausaha tersebut.
“Saya juga ingin meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan masjid kerana terlalu lemah dan takut dalam mengambil tindakan ke atas setiausaha yang menonton video lucah di dalam masjid menggunakan peralatan masjid pada 27 Disember 2025 lalu, walaupun bukti telah disertakan.”
“Kemudian, tiada pembelaan daripada pihak masjid terhadap saya sebagai imam apabila ada pihak lain yang menuduh, memutar belit cerita dan juga melaknat saya kerana cuba membongkarkan perkara busuk yang berlaku di dalam masjid.”
Dalam pada itu Muhammad Adhan menegaskan tujuan rakaman itu bukanlah untuk tatapan umum, sebaliknya sebagai rujukan kepada pihak pengurusan masjid dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
“Isu video yang tular itu bukan saya yang sebarkan. Rakaman tersebut diambil untuk rujukan ahli jawatankuasa masjid dan JAIM sahaja, namun terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkannya.”
“Bagi mereka yang mengecam saya tanpa mengetahui cerita sebenar, saya memaafkan semuanya. Pada masa akan datang, tabayyunlah dahulu sebelum membuat sebarang komen.”
Dalam pada itu , Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman memaklumkan bahawa isu berkenaan akan dibincangkan dan tindakan selanjutnya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa masjid pada minggu hadapan.
Sumber : Sinar Harian


