Keluarga Diraja Britain boleh dikatakan keluarga diraja yang paling terkenal di dalam dunia. Malah kalau ada apa-apa majlis istiadat tak kiralah sama ada perkahwinan, pertabalan mahu pun pengebumian, ianya akan ditayangkan secara langsung dan berjuta-juta orang di seluruh dunia akan menontonnya.
Menjadi terkenal ni mestilah ada baik dan buruknya, hakikatnya orang yang terkenal dan mempunyai kedudukan yang tinggi mempunyai lebih ramai musuh berbanding orang biasa. Ekoran ini, mereka sering menjadi mangsa keganasan termasuk cubaan membunuh.
Jadi, dekat bawah ni kita akan senaraikan beberapa golongan diraja Britain yang pernah berdepan dengan cubaan membunuh namun terselamat. Nak tahu lebih lanjut? Jom baca!
Artikel berkaitan: Ini 7 Momen Perkahwinan Diraja Paling ‘Fail’ Yang Pernah Berlaku Dalam Sejarah
Artikel berkaitan: Penggiliran Yang di-Pertuan Agong: Apa Korang Perlu Tahu Tentang Sistem Diraja Malaysia Yang Dianggap Paling Unik Di Dunia!
1. Raja Charles
Raja Britain yang baru sahaja mewarisi takhta ibunya, Ratu Elizabeth II pada tahun lalu pernah terselamat dari cubaan membunuh pada tahun 1994 ketika menghadiri sambutan Hari Australia di Australia.
Pelaku, David Kang telah melompat ke atas pentas dan menembak sebanyak dua peluru kosong menggunakan pistol pelepas ke arah Charles. Tindakan David ini merupakan protes terhadap layanan yang diterima oleh pelarian Kemboja di Australia.
Tindakan pantas kru keselamatan telah menyelamatkan Charles dan David kemudiannya telah ditahan, didakwa dan didapati bersalah kerana mengancam keganasan yang menyalahi undang-undang.
2. Ratu Victoria
Sepanjang 63 tahun pemerintahannya, Ratu Victoria telah menjadi subjek terhadap tujuh cubaan pembunuhan. Serangan yang paling diingati ramai merupakan serangan pertama terhadap nyawa ratu ini pada 1840 ketika beliau baru sahaja tiga tahun menaiki takhta.
Seorang lelaki bernama Edward Oxford telah melepaskan dua tembakan ke arah Ratu Victoria ketika sedang mengembara menaiki kereta kuda bersama suaminya, Putera Albert. Tembakan tersebut tersasar dan pasangan ini selamat dan dapat meneruskan perjalanan tanpa apa-apa kecederaan.
Edward Oxford kemudiannya telah ditahan dan didakwa kerana menderhaka namun didapati tidak bersalah atas sebab mempunyai masalah mental. Lelaki ini kemudiannya telah ditahan di rumah sakit jiwa untuk penjenayah dan kemudiannya dihantar ke Hospital Broadmoor sebelum dibebaskan dan menghabiskan sisa hidupnya di Australia.
3. Ratu Elizabeth II
Seperti moyangnya, Ratu Elizabeth juga pernah terselamat dari beberapa cubaan pembunuhan sepanjang pemerintahannya. Cubaan yang paling terkenal adalah pada 1981 apabila ratu ini melawat Dunedin, New Zealand.
Seorang remaja berusia 17 tahun, Christopher J. Lewis telah melepaskan tembakan ke arah Ratu Elizabeth dari tingkat lima bangunan pejabat menggunakan senapang .22 kaliber yang dicurinya. Tembakan tersebut tersasar dan Ratu Elizabeth juga dikatakan tak sedar dengan serangan yang cuba dibuat ke atasnya itu.
Penembak tersebut telah ditangkap dan didakwa atas kesalahan membawa senjata api di tempat awam. Pihak berkuasa New Zealand pula dikatakan cuba untuk menyembunyikan insiden tersebut bagi memastikan keluarga diraja Britain ini akan terus melawat negara tersebut.
4. Raja Edward VIII
Walaupung hanya menduduki takhta sebagai raja selama 11 bulan, namun Raja Edward sempat menjadi mangsa cubaan pembunuhan.
Pada 16 Julai 1936 ketika dalam perjalanan untuk pulang ke Istana Buckingham selepas menghadiri majlis di Hyde Park, seorang lelaki bernama George McMahon telah menolak orang ramai yang ada di situ sambil memegang sepucuk revolver. Senjata itu telah dicampak ke arah Raja Edward namun begitu ia tidak melepaskan tembakan.
George McMahon kemudiannya ditahan dan didakwa atas tuduhan berniat untuk mencederakan dan dimasukkan dalam penjara selama setahun.
5. Raja George III
Raja yang mengetuai England ketika Revolusi Amerika dan Perang Napoleonik ini merupakan seorang yang baran dan tak disukai oleh ramai orang.
Pada tahun 1800, Raja George hampir mati apabila seorang bekas tentera bernama James Hadfield telah melepaskan tembakan ke arahnya di Teater Diraja yang terletak di Drury Lane.
Tembakan itu bagaimanapun tersasar dan James Hadfield telah ditahan namun dibebaskan atas sebab mempunyai masalah mental.
6. Ratu Elizabeth I
Ketika kurun ke-16, satu cubaan membunuh pernah dirancang ketika berlakunya kemelut agama pada ketika itu di mana kumpulan mazhab Katolik telah merancang untuk membunuh Ratu Elizabeth yang merupakan pengikut mazhab Protestan dan menggantikannya dengan Mary Katolik Ratu Scotland.
Rancangan tersebut telah dirancang dengan baik namun tak sempat dilaksanakan selepas mesej berkod yang digunakan untuk dihantar ke satu sama lain berjaya diketahui oleh orang yang bekerja dengan Ratu Elizabeth.
Ketua konspirasi tersebut kemudiannya telah ditangkap dan dibunuh dan mazhab Protestan telah diumumkan menjadi agama rasmi England.
7. Puteri Anne
Satu-satunya anak perempuan Ratu Elizabeth II pernah menjadi mangsa rancangan penculikan pada tahun 1974.
Pada 20 Mac, kereta yang dinaiki oleh Puteri Anne telah diarahkan untuk berhenti sementara seorang lelaki dari London Utara, Ian Ball telah memandu keretanya dihadapan dan keluar dari kereta sambil membawa dua pistol.
Selepas bergelut dengan pengawal keselamatan, Ian Ball telah menyuruh puteri tersebut untuk keluar dari keretanya namun Anne enggan.
Ian Ball kemudiannya ditahan dan dihantar ke rumah sakit jiwa dan akan tinggal di sana selama-lamanya.
Sumber: Stars Insider