Enam tahun lalu, rakyat Malaysia gempar. Kita dikejutkan dengan khabar kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, lesap dari radar secara tiba-tiba setelah lebih kurang 40 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
8 Mac 2014, itulah tarikh ‘ghaibnya’ sebuah pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal. Seluruh Malaysia menjadi restless, setiap hari kita bercakap mengenai ke mana perginya pesawat ini.
Orang ramai pula muncul jadi pakar penerbangan. Dan tak kurang juga, jadi pakar teori konspirasi — cuba membuat hubungkait misteri demi misteri, atau ‘kebetulan’ yang tentulah berlaku secara kebetulan juga.
Pejam celik, enam tahun berlalu — masih juga tiada jawapan muktamad mengenai misteri kehilangannya.
Bagi waris pula, ternyata pahit duka yang harus ditelan kerana masih tiada closure untuk menghentikan segala pertanyaan yang datang menghantui kotak fikiran mereka — sejak setengah dekad lalu.
Sempena mengenang ulangtahun kehilangannya, ini antara enam teori aneh yang menyusul — sebaik saja nama MH370 meniti di bibir masyarakat seluruh dunia.
1. Sengaja Dijatuhkan, Juruterbang Dalam Misi Bunuh Diri
Ini antara teori awal yang diperkatakan, bahawa juruterbang MH370 — Kapten Zahari Ahmad Shah, melakukan misi bunuh diri ketika membawa pesawat berkenaan.
Berbulan lamanya selepas MH370 hilang, pelbagai spekulasi mengenai tentang kapten ini diperkatakan — antaranya termasuk fahaman politik, sejarah perkahwinannya sehinggalah kepada tahap kesihatan mental beliau.
Sebuah artikel yang diterbitkan BBC pada 16 April 2015, turut memetik kenyataan daripada seorang pakar penerbangan Kapten Simon Hardy.
Hardy berkata, beliau yakin Zaharie sengaja menerbangkan pesawat itu tanpa dapat dikesan oleh radar beribu batu jauhnya — sebelum menjunamkan ia ke dalam laut.
Selain itu, terdapat laporan daripada Biro Siasatan Persekutuan yang mendapati bahawa — Zaharie cuba memandu alat simulator ke arah tempat ia dipercayai jatuh iaitu di Lautan Hindi seminggu sebelum ia hilang.
Malah baru-baru ini juga, bekas perdana menteri Australia Tony Abbott turut mengeluarkan dakwaan serupa.
2. Pesawat Dirampas Pengganas
Ini pula antara teori yang popular diperkatakan, dan mungkin more or so — bolehlah dianggap sebagai agak munasabah untuk difikirkan.
Antara kumpulan pengganas yang disebut-sebut memiliki kaitan dengan kejadian tersebut termasuklah Jemaah Islamiyah, Al-Qaeda dan tak kurang juga kumpulan pengganas Uyghur dari wilayah barat China.
Konglomerat Rupert Murdoch yang menguasai beberapa gergasi media dunia turut berkongsi tweet, mengatakan bahawa pesawat itu dicuri dan disembunyikan di utara Pakistan.
3. Terdapat Kegagalan Mekanikal
Pada 30 Jun 2014, MStar mengeluarkan satu artikel menyebut penyiasat nahas udara Australia telah mendedahkan bahawa MH370 mengalami gangguan kuasa misteri pada peringkat awal penerbangan.
Pakar percaya, ia sengaja dilakukan oleh individu yang memiliki akses masuk ke kokpit untuk mengelakkan pesawat itu dapat dikesan oleh radar.
“Seseorang mungkin berlegar-legar di dalam kokpit yang akan membawa kepada gangguan kuasa,” kata pakar keselamatan penerbangan David Gleave.
4. Moscow Dalang Di Sebalik Misteri?
Presiden Russia, Vladimir Putin turut tidak ketinggalan terpalit sama dalam misteri kehilangan MH370 — apabila seorang penulis sains dari Amerika Syarikat, Jeff Wise mendakwa bahawa Putin telah mengarahkan pesawat itu di’hijack.’
Dalam tulisannya, Wise mendakwa sekumpulan perampas Rusia dipercayai berada dalam pesawat berkenaan dan telah mengganggu data penerbangan MH370.
Tindakan itu dilakukan untuk menghasilkan gambaran seolah-olah pesawat berkenaan melintasi laluan tertentu, sedangkan sebenarnya ia dilencongkan ke Baikonur Cosmodrome — iaitu sebuah fasiliti pelancar angkasa lepas berprofil tinggi yang digunakan Rusia atas izin kerajaan Kazakhstan sehingga tahun 2050.
Malah baru-baru ini juga, sebuah tabloid di UK ada menerbitkan sebuah artikel bagi merungkai hubungkait bekas presiden Amerika Syarikat Barack Obama dalam misteri ini.
Hmm?
5. Ditawan Makhluk Asing?
Ada segelintir penduduk dunia ni memang obses dengan makhluk asing, hinggakan kehilangan MH370 turut dipercayai kerana telah diculik oleh alien.
Dalam satu kajian dibuat CNN pada 2014, 9% rakyat Amerika Syarikat percaya bahawa pesawat malang itu beserta kesemua penumpangnya — telah ditawan makhluk asing yang muncul ke dunia dari sebuah dimensi lain.
6. Konspirasi CIA
Akhir sekali, pada Mei 2014 — pemimpin Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Agensi Perisikan Pusat bertanggungjawab membenarkan kehilangan MH370 berlaku.
Dalam perkongsian yang dimuatnaik di blog beliau, Tun Dr. Mahathir memberi gambaran seolah Boeing sendiri merupakan dalang di sebalik kejadian tersebut — dan tulisannya itu turut diterbitkan Time.
Menurut beliau, Boeing dan beberapa agensi risikan mempunyai keupayaan untuk mengambil alih pesawat komersil dari jarak jauh — dan salah satu contohnya adalah pesawat MH370 B777.
Justeru, adalah satu kemungkinan yang nyata bahawa juruterbang MH370 mungkin telah hilang kawalan terhadap pesawatnya setelah seseorang atau sesuatu — secara langsung atau dari jarak jauh, mengaktifkan peralatan kawalan pesawat jarak jauh.
Apa pun, semua ini akan kekal menjadi teori semata-mata. Dunia masih kekurangan bukti untuk mencari jawapan sebenar, maka selama itu jugalah ia akan menjadi antara kes kehilangan pesawat penuh misteri dalam sejarah.