in

59.2 Peratus Pekerja Hidap Obesiti, Isyarat Kritikal Tahap Modal Insan Negara

Ft Perkeso Bike Dan Run

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Status modal insan negara kini berada dalam fasa yang membimbangkan apabila majoriti tenaga kerja di Malaysia didapati sedang bergelut dengan masalah kesihatan berat badan.

Analisis Program Saringan Kesihatan (HSP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2023 hingga 2025 mendedahkan satu realiti pahit, di mana 59.2 peratus pekerja yang disaring disahkan mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.


Aql08269

Angka yang cukup tinggi ini merupakan satu isyarat kritikal yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

“Kita perlu sedar bahawa memasuki fasa usia sebelum persaraan ialah tempoh produktif, tetapi pada masa yang sama, ia merupakan tempoh kritikal bagi risiko penyakit tidak berjangkit (NCD)

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, profil risiko kesihatan ini kebanyakannya dikesan dalam kalangan pekerja yang berada dalam lingkungan usia 40 hingga 59 tahun.

Lebih membimbangkan, saringan tersebut turut mendedahkan profil risiko penyakit kronik yang lain dalam kalangan pekerja:

  • 59.24 peratus dikesan mempunyai masalah kolesterol tinggi.
  • 19 peratus daripada mereka menghidap diabetes.
  • 17.45 peratus pekerja mempunyai tekanan darah tinggi.

Beliau turut memetik pendedahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyatakan hanya 14.7 peratus warga emas di Malaysia ketika ini mampu mencapai tahap penuaan sejahtera. Pada masa yang sama, kes penyakit kanser kekal sebagai punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia dan kini semakin kerap menyerang golongan berusia muda.

Produktiviti Negara Bermula Daripada Gaya Hidup

Aspek kesihatan pekerja adalah penentu utama kepada tahap produktiviti, malah secara tidak langsung mempengaruhi kelangsungan sosioekonomi negara.

Sehubungan itu, Datuk Khairul Firdaus menyarankan agar kesedaran mengenai bahaya NCD ini diangkat sebagai langkah intervensi penting untuk membudayakan hidup sihat dan pemakanan seimbang.

Menyahut cabaran tersebut, penganjuran PERKESO Run and Ride 2026 yang memasuki edisi kesembilan tahun ini telah menerima impak luar biasa dengan penyertaan terbesar mencecah 12,000 peserta.

Dji 20260517070804 0025 D 1
Default

Kehadiran ini menjadi manifestasi sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam menggerakkan perubahan gaya hidup secara kolektif.

Lebih membanggakan, kelompok peserta yang berusia 40 hingga 50-an mewakili hampir 30 peratus daripada keseluruhan peserta yang hadir. Ini adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan golongan pekerja senior mula mengambil langkah serius terhadap penjagaan kesihatan mereka.

Saringan dan Perlindungan Lebih Komprehensif

Bagi menggalakkan penyertaan yang lebih aktif, edisi kali ini membawakan sedikit kelainan dengan memperluaskan jarak kilometer (km) kategori larian kepada 3km, 6km, dan 12km, di samping mengekalkan acara kayuhan santai sejauh 35km.

Selain tumpuan kepada gaya hidup aktif, PERKESO juga terus memperkukuh peranannya dalam melindungi kebajikan rakyat melalui penjenamaan semula skim perlindungan keselamatan sosial yang dikenali sebagai LINDUNG. Pendekatan baharu yang diluncurkan sejak Ogos 2025 ini tampil lebih segar dan inklusif.

Di bawah penjenamaan ini, perlindungan sosial dibahagikan secara strategik berasaskan akta berkaitan iaitu:

  • LINDUNG PEKERJA (Akta 4)
  • LINDUNG KERJAYA (Akta 800)
  • LINDUNG KENDIRI (Akta 789 – SKSPS)
  • LINDUNG KASIH (Akta 838 – SKSSR)

Langkah komprehensif ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap PERKESO sebagai pelindung utama keselamatan sosial negara.

Maklumat lanjut mengenai skim saringan kesihatan dan perlindungan ini boleh dikesan menerusi laman web rasmi mereka di www.perkeso.gov.my.

Sumber: PERKESO

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.