Lima penuntut Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu maut dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish dan lori di Jalan Gayang-Tuaran, pada Jumaat.
Memetik laporan Sinar Harian, kemalangan berlaku kira-kira jam 2 petang berhampiran simpang Rela Gayang apabila MPV yang dipandu laju hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori dari arah Tuaran ke Kota Kinabalu.
Kesemua mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mereka kemudian dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Harianto Anuar, Neil Stanley Pletinie, Mohammad Ikhwan Kurniawan, Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy dan Daniel Sarag Jimmy. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran atau hadir ke balai polis berhampiran.
Baca: “Van jenazah pun nak curi” – Lelaki Terlibat Kemalangan Rempuh Lori Lepas Curi Van Jenazah