Seramai 30 penumpang terselamat selepas sebuah bas ekspres terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 159 Jalan Kuantan–Johor Bahru, di atas Jambatan Endau, Rompin, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam ketika lori treler berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Johor Bahru, manakala bas ekspres pula dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Kuantan.

Ketika tiba di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler yang sedang bergerak lurus di atas jambatan berkenaan.
Walau bagaimanapun, kedua-dua pemandu serta kesemua 30 penumpang bas berusia antara tujuh hingga 50 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua penumpang kemudiannya dibawa pulang dengan selamat menggunakan sebuah bas lain kira-kira satu jam selepas kejadian, manakala kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Sumber: Astro Awani
