in

2 Kali Kena Scam, Pakar Perubatan Rugi Lebih Setengah Juta Diperdaya ‘Peguam’

Pakar Perubatan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang pakar perubatan mengalami kerugian melebihi RM500,000 selepas terperdaya dengan skim penipuan pelaburan mata wang kripto yang diperkenalkan oleh seorang kenalan menerusi aplikasi TikTok.

Mangsa berusia 67 tahun itu menerima tawaran pelaburan berkenaan melalui satu pautan yang dihantar pada penghujung September lalu sebelum tertarik dengan penerangan yang diberikan dan bertindak membuat beberapa pindahan wang ke dalam pelbagai akaun bank atas nama syarikat.


Siasatan awal mendapati mangsa telah memindahkan sejumlah RM320,000 bagi tujuan pelaburan, namun gagal mengeluarkan sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

Keadaan tersebut mendorong mangsa mencari bantuan lain selepas terbaca mengenai satu entiti di media sosial yang mendakwa menawarkan khidmat membantu menyelesaikan kes penipuan.

Artikel berkaitan: Guna Isteri & Anak Minta Simpati, Netizen Dedah Modus Operandi ‘Scammer’ Warga Asing Di RnR

Artikel berkaitan: Serah Gambar B*gel Kepada Bomoh Scammer, Tukang Jahit Turut Rugi RM103,000

Screenshot 2026 01 04 at 1.11.09 PM
Gambar Hiasan

Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang individu yang mengaku sebagai peguam dan diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pemulihan wang.

Susulan itu, mangsa mengalami kerugian tambahan sebanyak RM209,200, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM529,200.

Menyedari dirinya terus diperdaya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan atau perkhidmatan pemulihan kerugian yang ditawarkan melalui media sosial serta menyalurkan maklumat berkaitan penipuan kepada pihak berkuasa atau National Scam Response Centre di talian 997.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.