Macam tak percaya pula tahun 2017 bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa minggu akan datang. Sepanjang tahun ini, ramai di antara selebriti Malaysia yang hot, terkenal dan menjadi rebutan ramai telah mendirikan rumah tangga bersama pasangan yang mereka cintai.
Perkahwinan selebriti yang berlangsung pada tahun ini telah menjadi perbincangan hangat di media sosial termasuklah yang mempersoalkan isu tajaan jutaan ringgit, pakaian yang mewah dan seksi serta insiden-insiden yang berlaku sebelum dan selepas perkahwinan tersebut berlangsung.
Berikut kami senaraikan 10 perkahwinan selebriti yang paling glamour sepanjang tahun ini:
1. Jep dan Sari Yanti
Tak ada angin, tak ada ribut dan seringkali bermain dengan teka teki, tiba-tiba sahaja pasangan manis, Jep Sepahtu dan Sari Yanti mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2017.
Perkahwinan yang berlangsung di Dewan Mercu Mustapha Kamal itu mencetuskan kontroversi apabila plakad ‘No Media’ telah ditampal pada pintu masuk menuju ke lif dewan utama perkahwinan dan majlis tersebut telah dikawal ketat oleh pihak penganjur.
Walau bagaimanapun, suasana pernikahan tersebut tetap meriah dengan kehadiran rakan artis dan pelawak seperti Shuib, Rahim, Wan Sharmila, Angah Raja Lawak dan Abby Fana.
Ia merupakan pernikahan kedua Sari Yanti selepas bercerai dengan bekas suaminya, Mohd Eddy Casmadi pada 11 Disember 2014 lalu.
2. Ummi Nazeera dan Izzar
Dijadualkan bernikah pada 3 Ogos 2017, Ummi Nazeera membuat kejutan dengan menjalankan pernikahannya pada 23 Julai lalu dalam sebuah majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga.
Pernikahannya dengan Dr. Mohd Izzar Anwari Abdul Khani telah diadakan lebih awal daripada tarikh asal oleh kerana menuruti permintaan keluarga yang mahu mempercepatkan perkahwinan.
Ummi dan Izzar difahamkan telah bertunang selepas tiga bulan berkenalan melalui ibu Izzar pada Januari lalu. Majlis resepsi mewah lagi meriah mereka telah diadakan di Hotel Shangri-La dan Dewan Bankuet Menara Felda, Persiaran KLCC pada Ogos lalu.
3. Mia Ahmad dan Izham Tarmizi
Perkenalan tidak terduga di antara bintang drama bersiri Hati Perempuan dan penjaga gol bagi pasukan JDT ini telah membibitkan rasa cinta dan seterusnya membawa kepada penyatuan dua hati dalam pernikahan yang berlangsung pada 13 Januari lalu.
Majlis akad nikah Mia Ahmad dan Izham Tarmizi telah berlangsung di Villa Sentosa, Taiping, Perak dengan dihadiri 200 orang tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga dan teman rapat kedua-dua pasangan.
Pasangan tersebut sepatutnya mengadakan tiga majlis resepsi iaitu yang pertama di Taiping pada 14 Januari dan kedua pula di Terengganu pada 19 Mac lalu. Pun begitu, resepsi ketiga yang sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Mac terpaksa dibatalkan kerana kepadatan jadual Izham yang terlibat dalam latihan dan perlawanan bola sepak akan datang. Okay lah tu dah ada dua majlis resepsi kan?
4. Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila
Pasangan serasi, Sharnaaz Ahmad dan Noor Nabila yang juga kakak kepada pelakon dan usahawan terkenal, Neelofa telah mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 yang lalu.
Diraikan dalam majlis yang bertemakan ala Inggeris, kedua-dua pasangan ini kelihatan segak seperti putera dan puteri. Nabila cantik bak permaisuri dalam persalinan daripada pereka fesyen terkenal, Radzuan Radziwill manakala Sharnaaz kacak bak putera raja dalam persalinan Putra Cosry. Majlis resepsi pasangan ini telah diadakan di hotel The Royal Chulan, Damansara manakala majlis bertandang pula diadakan di negeri kelahiran Sharnaaz, Pulau Pinang.
Dalam satu sesi temubual bersama media, Sharnaaz mengakui bahawa dia mahukan anak yang ramai bersama Nabila dan berharap isterinya itu memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon.
5. Nora Danish dan Nedim Nazri
Selepas lapan tahun bergelar seorang ibu tunggal, Nora Danish akhirnya menamatkan status tersebut dengan melangsungkan pernikahan bersama Nedim Nazri yang juga seorang duda anak satu.
Perkahwinan yang diadakan sederhana di Glasshouse at Seputeh, Kuala Lumpur itu telah dihadiri 200 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga dan teman rapat pengantin serta disaksikan oleh kedua-dua anak pasangan tersebut, Rayqal dan Nedrin.
Meskipun pernikahan tersebut terpalit kontroversi adegan cium yang melibatkan Nora dan Nedim di hadapan kedua anak mereka, pasangan tersebut mengambil langkah untuk tidak mengambil peduli. Kini Nora sudah pun berbadan dua dan bakal melahirkan bayi mereka pada tahun hadapan. Tahniah Nora dan Nedim!
6. Laudya Cynthia Bella dan Engku Emran
Laudya Cynthia Bella atau lebih dikenali sebagai Bella bukanlah aktres yang berasal dari Malaysia. Terkenal dengan filem Syurga Yang Tak Dirindukan, aktres bertudung litup ini telah bernikah dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin iaitu bekas suami kepada pelakon Erra Fazira.
Melangsungkan perkahwinan pada 8 September lalu, kisah cinta yang tertulis di antara Bella dan Engku Emran ini sangat unik. Diperkenalkan melalui Nora dan Nedim yang juga teman baik kepada pasangan ini, hubungan cinta mereka mulai mekar setelah ia direstui Engku Aleesya dan ibunya, Erra Fazira.
Kini menetap di Malaysia, keakraban Bella, Emran, Aleesya dan Erra sering mendapat pujian netizen di media sosial. Bagus lah tu kan…
7. Mawar Rashid dan Raf Yaakob
Bibit percintaan di antara Mawar dan Raf Yaakob yang juga adik kepada penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob bermula selepas mereka diperkenalkan oleh rakan baik mereka, Emma Maembong.
Sejak daripada itu, Mawar dan Raf sering berkongsi aktiviti mereka bersama di Instagram sebelum mengambil keputusan untuk melangsungkan pernikahan pada 9 November 2017 lalu. Majlis resepsinya pula telah diadakan dalam majlis tertutup di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada 1 Disember lalu.
Antara yang menarik perhatian di majlis tersebut ialah kek tergantung ala chandelier yang telah disediakan oleh abang dan kakak iparnya, Azrene yang juga Ketua Pereka Kek SukaSucre Bistro.
8. Datuk Jalaluddin Hassan dan Rapidah
Melalui detik duka kehilangan isterinya hampir setahun yang lalu, Datuk Jalaluddin Hassan akhirnya menamatkan zaman duda dengan bernikah kepada Rapidah Abdul Ghani, 44.
Berkenalan melalui Facebook sejak awal Ramadan lalu, Jalaluddin tekad untuk mengahwini Rapidah yang merupakan ibu tunggal anak empat yang juga merupakan adik kepada rakan karib pelakon dan pengacara Who Wants To Be Millionaire itu.
Ia merupakan perkahwinan ketiga Jalaluddin yang terdahulu mendirikan rumah tangga dengan arwah isterinya, Datin Hasimah Mat Ehsan dan Ridani Ghani pada 1997 yang berakhir dengan penceraian.
9. Izara Aishah dan Adib Khalid
Keluarga Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid bertambah satu lagi ahli baru dengan bernikahnya Adib Khalid kepada aktres jelita, Izara Aishah pada 17 November lalu. Majlis yang dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga, rakan artis dan sahabat rapat itu telah diadakan di Damansara.
Pasangan yang mula berkenalan selepas diperkenalkan oleh Ummi Nazeera yang juga teman baik Adib ini, tidak menerima sebarang tajaan untuk pernikahan mereka. Pada acara berkenaan, Izara telah menggayakan busana hasil sentuhan Datuk Rizalman dan Adib pula telah mengenakan persalinan Melayu rekaan Datuk Radzuan Radzwill.
10. Fattah Amin dan Fazura
Mungkin perkahwinan ini boleh dinobatkan sebagai Wedding Of The Year 2017. Mula disatukan dalam drama Hero Seorang Cinderella, hubungan Fattah dan Fazura mekar seiring munculnya hashtag #Fattzura yang diberikan peminat.
Kemudian satu persatu persoalan serta spekulasi mulai timbul apabila pasangan ini digosipkan telah melangsungkan perkahwinan secara senyap-senyap sebelum mengerjakan umrah pada November lalu.
Sejurus pulang daripada umrah, Fattah dan Fazura menjelaskan bahawa mereka telah sah bertunang dan bakal melangsungkan pernikahan dalam masa yang terdekat. Tup-tup pasangan ini sekali lagi membuat kejutan apabila telah pun mengadakan pernikahan secara tertutup di hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur pada 27 November 2017 lalu.
Menurut Fattah, majlis resepsi mereka bakal diadakan pada Januari nanti dan pasangan ini akan berbulan madu ke UK tidak lama lagi.
Ramai juga ye pasangan artis yang bernikah pada tahun ini. Didoakan semoga jodoh mereka berpanjangan hingga ke jannah dan tabah dalam melayari bahtera perkahwinan yang penuh pancaroba. Selamat pengantin baru!
Baca: 7 Kelab Peminat Artis Yang Paling Berpengaruh di Malaysia