Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menjalankan siasatan susulan laporan orang ramai mengenai bunyi ngauman yang dipercayai harimau di kawasan berhampiran Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City, dekat Tanjong Malim.
Siasatan itu dilakukan walaupun setakat ini pihak Perhilitan belum menerima sebarang laporan rasmi, susulan penularan sebuah rakaman video di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang memaparkan bunyi menyerupai ngauman harimau.

Artikel berkaitan: Dua Ekor Lembu Ditemui Mati Dengan Kesan Gigitan Akibat Serangan Harimau Di Bukit Bangkong
Artikel berkaitan: Penduduk Ukay Perdana Buat Aduan Harimau Merayau, Setakat Ini Perhilitan Belum Temui Bukti Fizikal
Maklumat awal berhubung kejadian tersebut diperoleh melalui perkongsian dalam kumpulan WhatsApp, sebelum pasukan Perhilitan dihantar bagi menjalankan pemantauan serta siasatan lanjut di lokasi berkenaan.
Rakaman video berdurasi kira-kira 15 saat itu didakwa dirakam di kawasan berhampiran hutan yang terletak tidak jauh dari sebuah sekolah menengah dan kawasan perumahan di Proton City, sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.
Perhilitan Perak memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan di kawasan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kehadiran hidupan liar berbahaya disahkan, selain menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang penemuan kepada pihak berkuasa.
Sumber: Sinar Harian
