Wanita Rakam Video Minta Bantuan Pulang ke Malaysia, Tak Tahan Didera Ibu Mertua di India

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:



Perkahwinan mana yang tak dilanda badai. Namun kadangkala bukan semua masalah perkahwinan datang daripada kesilapan kedua-dua pasangan. Boleh jadi juga masalah tersebut datangnya daripada mertua yang suka campur tangan dan cuba menganiaya menantu yang tinggal jauh daripada keluarga.

Hal inilah yang berlaku kepada seorang wanita India warganegara Malaysia yang kini tertekan akibat sering didera ibu mertuanya yang tidak berhati perut. Menurut mStar, keadaan wanita tersebut mula mendapat perhatian netizen apabila video rakamannya tular di Facebook beberapa hari lalu.

Sumber: mStar

Menerusi dua video berasingan, wanita yang dikenali sebagai Devasuria Subramaniam yang berasal dari Kuala Lumpur itu dilihat menangis dan merayu bantuan daripada orang awam untuk membawanya pulang ke tanah air.



Malah dia juga mendakwa, keluarga suaminya di India kini sedang merancang untuk menghantarnya pulang ke Malaysia namun tanpa anak lelakinya yang berusia 4 tahun.

Namun melalui video yang kedua pula, dia telah dilihat seakan-akan dipaksa untuk meminta maaf atas penyebaran rakaman video pertama dan meminta supaya video tersebut tidak ditularkan lagi.

Sumber: Facebook

Berikutan tularnya rakaman tersebut, Sub-Inspektor Satesh Kumar dari balai polis Uchipulli daerah Ramanathapuram, Tamil Nadu, India telah mengenal pasti mangsa dan anak lelaki yang dikatakan teraniaya.

“Dia datang ke balai polis ini pada Sabtu dan kami menghantarnya ke ibu pejabat polis di Rameswaram di mana urusan tersebut diselesaikan. Tiket penerbangannya sudah ditempah,” katanya.

Sementara itu, sebuah laporan polis juga telah dibuat di balai polis Klang Selatan pada Sabtu lalu oleh Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira). Setiausaha Agung parti berkenaan telah meminta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India dan Jabatan Imigresen untuk membantu membawa pulang wanita tersebut ke Malaysia.



Menurut The Star, Devasuria, 37, telah berkahwin dengan suaminya, S. Muralidas, 34, di Malaysia sejak lapan tahun lalu. Pun begitu, perkahwinan yang dibina mula dilanda kacau bilau apabila suaminya yang sudah menetap di Malaysia selama 16 tahun terpaksa pulang ke India selepas permitnya tidak dapat diperbaharui.

Wanita tersebut kemudiannya tinggal di sana selama tiga bulan sebelum merasa tertekan selepas didera oleh ibu mertuanya secara fizikal sebanyak tiga kali.

Sumber: FMT

Buat masa ini, Devasuria dikatakan sedang menanti detik pulang ke tanah air meskipun terdapat berita yang mengatakan dia telah dihalang daripada menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Trichy, Tamil Nadu kerana tinggal lebih masa di India.

Namun, Devasuria yang sudah terlebih dahulu memikirkan masa depannya di Malaysia telah bercadang untuk pulang ke rumah ibunya di Sentul dan berazam untuk mencari pekerjaan baru bagi menyara hidupnya dan anak.

Saya amat sedih meninggalkan suami tetapi saya tak boleh tinggal di sana kerana ada isu serius dengan ibu mertua saya.

“Saya tidak bekerja sejak lapan tahun lalu dan kehidupan akan menjadi lebih sukar tanpa suami di sisi tetapi saya perlu bergerak ke hadapan,” jelas Devasuria.



Marilah kita doakan semoga wanita ini dan anaknya segera pulang ke Malaysia. Semoga urusan penerbangannya dipermudahkan dan kerajaan berusaha untuk membantunya kembali ke tanah air. 

Nota: Gambar sebelah kanan di atas sekadar ilustrasi.

Baca: Suami Pukul dan Botakkan Kepala Isteri Kerana Syak Ada Hubungan Sulit Dengan Lelaki Lain

Rocket WOBDapatkan berita yang paling viral setiap hari:


Written by Syaida Ismail

Seorang yang suka berimaginasi dan amat meminati penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza. Mungkin kelihatan comel dan tidak merbahaya, namun amat menyukai novel bergenre aksi-thriller. Hati-hati!