Satu insiden tragis yang meragut nyawa telah berlaku malam semalam 27 April di Jakarta, Indonesia, mengorbankan 7 individu manakala 81 lagi dilaporkan cedera.
Sekitar jam 9 malam waktu Indonesia, satu pelanggaran tragis berlaku apabila KA Argo Bromo Anggrek laluan Gambir-Surabaya Pasar Turi merempuh bahagian belakang KRL Tokyo Metro 5568A yang sedang dalam perjalanan dari Kampung Bandan ke Cikarang dan berhenti di Stesen Bekasi Timur. Pelanggaran yang kuat itu telah menyebabkan gerabak belakang kereta api remuk teruk.

Pengarah Urusan PT Kereta Api Indonesia, Bobby Rasyidin, memaklumkan perkembangan terkini mengenai kesan insiden perlanggaran kereta api di Bekasi Timur terhadap perkhidmatan KRL Commuter Line.
“Setakat jam 6:30 petang (waktu Indonesia Barat), tujuh orang disahkan maut, manakala 81 penumpang yang cedera masih menerima rawatan. Selain itu, tiga lagi penumpang dilaporkan masih terperangkap di dalam rangkaian kereta api,”– kata Bobby Rasyidin dalam sebuah konferensi di Stesen Bekasi Timur semalam.
Pasukan penyelamat mengambil masa hampir 8 jam untuk mengeluarkan semua penumpang, termasuk mangsa yang cedera dan masih terperangkap di dalam gerabak kereta api yang terjejas.

“Proses evakuasi mengambil masa yang agak panjang, iaitu sekitar lapan jam, kerana ia dijalankan dengan sangat berhati-hati serta mengutamakan aspek keselamatan. Setakat ini, kerja evakuasi terhadap 12 gerabak KA Argo Bromo Anggrek telah berjaya dilakukan dan kesemuanya telah dipindahkan ke Stesen Bekasi,”- lanjut Bobby Rasyidin
Walaupun kerja evakuasi masih diteruskan, laluan ke arah Jakarta sudah mula dibuka semula tetapi dengan kelajuan terhad.
Namun begitu, operasi kereta api masih belum pulih sepenuhnya kerana hanya satu landasan digunakan untuk kedua-dua arah, sekali gus menyebabkan perkhidmatan berjalan lebih perlahan daripada biasa.
Punca kemalangan kereta api
Beberapa kemungkinan telah dikemukakan oleh pihak berkuasa berhubung punca kemalangan kereta api yang berlaku di Bekasi, Indonesia semalam.
Pakar pengangkutan awam dalam bidang pengangkutan kereta api, Joni Martinus, berkata bahawa sistem isyarat ‘absolute block’ di Indonesia menetapkan bahawa jika sudah ada satu kereta api berada dalam satu bahagian landasan, isyarat masuk di stesen berikutnya mesti menunjukkan lampu merah.

Ini bermaksud kereta api lain tidak dibenarkan masuk kerana laluan tersebut masih digunakan oleh kereta api yang sama. Justeru, perkara ini adalah satu perkara yang berbahaya dan melanggar prinsip keselamatan.
Antara punca yang dipercayai menyebabkan KA Argo Bromo Anggrek merempuh KRL di Stesen Bekasi Timur termasuk pelanggaran isyarat merah, kegagalan sistem isyarat yang memaparkan arahan salah, miskomunikasi tentang had kelajuan ketika melalui isyarat merah, serta kesilapan prosedur yang membenarkan kereta api masuk ke landasan yang masih digunakan.
Sebagai makluman, beberapa insiden nahas kereta api pernah berlaku di Indonesia sebelum ini.
Pada tahun 2023 di Jawa Timur, seramai 11 orang terkorban apabila sebuah tren merempuh bas mini di persimpangan tanpa penghadang. Manakala pada tahun 2024 di Jawa Barat, satu lagi insiden kereta api berlaku mengorbankan 4 kakitangan kereta api.
Sumber: Berita Harian , CNBC Indonesia
Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.