Setakat ini, skuad badminton Malaysia antara yang mendominasi kategori sukan tersebut di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Prestasi cemerlang itu dibuktikan oleh beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee We telah melayakkan diri mereka ke suku akhir sementara beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah juga bakal ke kelompok lapan terakhir.
Wira tak didendang
Pun begitu, kejayaan tersebut mungkin sukar diperolehi tanpa bantuan 20 orang pegawai Institut Sukan Negara (ISN) yang komited melaksanakan tugas mereka di belakang tabir. Peranan penting mereka adalah untuk memastikan 26 atlet negara sentiasa berada dalam keadaan baik dari segi mental mahupun fizikal.
Artikel berkaitan: “Sukan menyatukan” – Rakyat Malaysia Ramai-ramai Tengok Perlawanan Badminton Olimpik Buat Netizen Terharu
Artikel berkaitan: “Satu dewan bangun” – Netizen Terharu Lihat Reaksi Penonton Rai Kemenangan Pearly-Thinaah Di Olimpik Paris
Antara perkhidmatan oleh ISN adalah pegawai perubatan, pegawai sains sukan, pemulihan, tukang urut, pemakanan dan psikologi yang kini sedang berkampung di Paris. Mereka ini diibaratkan sebagai ‘wira yang tak didendang’ kerana menjadi tulang belakang bagi kejayaan para atlet.
Analisis pihak lawan, khidmat psikologi
Pegawai Psikologi Sukan ISN, Lim Jun Xuan turut membantu beregu campuran, Tang Jie-Ee Wei sehingga mereka berdua berjaya menumpaskan pihak lawan dari negara China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam aksi terakhir Kumpulan D.
Selepas sesi bersama Jun Xuan, komunikasi antara kami menjadi lebih baik dan lebih serasi sebagai gandingan. Saya fikir ia sangat membantu kami untuk menampilkan prestasi terbaik di dalam gelanggang. – Ee Wei
Selain itu, Nur Zubillah Azis, seorang Pegawai Analisis Prestasi Sukan ISN bertanggungjawab membantu pasangan beregu campuran itu dalam menganalisis permainan mereka selain mengkaji kekuatan dan kelemahan pihak lawan.
Sumber: Berita Harian