Seorang wanita warga China telah ditahan pihak berkuasa selepas bertindak agresif dan mencederakan seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut kenyataan media Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) , kejadian berlaku pada 13 Ogos 2025, sekitar jam 7.40 malam di Balai Berlepas KLIA Terminal 1, semasa pemeriksaan pelepasan imigresen.
Ketika kejadian, wanita tersebut, bersama tiga lagi warga China iaitu seorang dewasa dan dua kanak-kanak, didapati tidak mempunyai rekod pergerakan masuk oleh pegawai kaunter dan mereka kemudian dirujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.
Namun, wanita itu tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.
Menurut AKPS, suspek kemudiannya mula memaki-hamun pegawai dengan perkataan kesat, sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.
Pergelutan kecil berlaku dan suspek enggan bertenang walaupun telah diarahkan. Pegawai Penguatkuasa AKPS segera memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan.
Akibat serangan itu, pegawai yang terlibat mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan, dan lenguh badan. Pegawai tersebut telah dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan.
Laporan polis telah dibuat, dan suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut. Wanita warga China itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).
AKPS menegaskan bahawa agensi tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan, penghinaan, atau ancaman terhadap pegawai yang sedang menjalankan tugas. Pihak AKPS berharap tindakan sewajarnya mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang terlibat.