Aktiviti rentas negeri sebelum Aidilfitri dan melakukan ziarah serta kunjung mengunjung menjadi punca utama berlakunya kluster terbesar di Hulu Terengganu setakat ini, lapor Harian Metro. Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus keseronokan yang dirasai hanya daripada dua keluarga itu telah menyebabkan 127 individu disahkan positif Covid-19 setakat ini sekaligus mencetus Kluster Kampung Matang, Kuala Berang.
Lebih teruk lagi, tindakan dua keluarga itu telah menyebabkan tiga buah kampung lain di Hulu Terengganu turut dijangkiti dan melalui Facebook, Dr Nor Azimi berkongsi lebih lanjut tentang kluster yang telah merebak hingga ke generasi ke lima itu.
“Hasil siasatan menunjukkan adanya rentas negeri sebelum Raya. Ada pula ziarah raya dan kunjung mengunjung melibatkan keluarga besar. Bayangkan 19 dikesan positif dari hanya 2 buah keluarga.”
“Habis raya yang bekerja masuk kerja. Tanpa sedar menjangkiti rakan sekerja pula. Lebih risau sudah ada jemaah masjid dijangkiti. Akhirnya jangkitan bersambung sambung dan anda boleh sambung sendiri cerita ini…”
Tiga buah kampung yang telah dijangkiti Kluster Kg Matang itu adalah Felcra Bukit Kepah, Kg Tengkawang dan Kg Pulau Kudat. Pada asalnya 19 individu disahkan positif iaitu ahli daripada dua buah keluarga tersebut dan kini difahamkan seramai 127 kes positif telah dikesan.
“Kontak rapat sahaja seramai 725 orang. Tidak termasuk saringan bersasar yang melibatkan beberapa buah Kg tadi. Masih ada 975 sample sedang menunggu keputusan.”
Dr Nor Azimi meminta agar semua memahami kesusahan yang bakal kita hadapi jika pandemik Covid-19 berterusan seperti ini. Dia turut menasihatkan supaya jadikan cerita ini sebagai iktibar dan jangan pentingkan diri sendiri kerana orang lain turut terima akibatnya.