in

TikTok, Content Forum dan MCMC Bekerjasama Melancarkan Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa demi Menjamin Kesejahteraan Digital Remaja

1

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 20 NOVEMBER 2025 – Bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia, TikTok bekerjasama dengan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melancarkan Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa (#ThinkTwice Parental Advisory), satu rujukan praktikal untuk membantu penjaga melindungi pengalaman digital remaja mereka.

Kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada kempen literasi digital berterusan #ThinkTwice oleh TikTok, yang menekankan pendekatan berasaskan komuniti dan bukti terhadap keselamatan dalam talian. Ia turut menegaskan kepentingan tanggungjawab kolektif yang wajar antara ibu bapa, platform digital dan penggubal dasar, serta menghormati hak kanak-kanak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa — termasuk hak untuk memperoleh maklumat, menyuarakan pandangan, melindungi privasi serta menikmati kebebasan berfikir.

1 1

Ketua Dasar Awam Malaysia, TikTok, Firdaus Fadzil menegaskan,

Kebanyakan cabaran yang dihadapi remaja masa kini bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, isu seperti buli, tekanan rakan sebaya, masalah kesihatan mental dan tabiat berbahaya telah wujud sebelum era internet lagi. Ibu bapa dan penjaga merupakan sumber bimbingan utama kerana merekalah yang paling rapat dengan anak-anak dan paling memahami keperluan mereka. Justeru, kami mahu memperkasakan ibu bapa dengan pengetahuan dan alat untuk memupuk generasi digital secara bertanggungjawab agar remaja kita lebih bersedia mengharungi dunia internet dengan selamat. Bagi menterjemahkan visi kepada tindakan, Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa bertujuan membantu ibu bapa memainkan peranan aktif dalam melindungi pengalaman digital remaja melalui penggunaan ciri keselamatan TikTok yang menyeluruh, selari dengan dapatan kajian global.”

Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood, turut sependapat. Beliau berkata:

Keselamatan dalam talian tidak sewajarnya bermaksud menyekat akses remaja daripada ruang digital. Internet hanyalah cerminan kepada isu sosial di dunia sebenar. Budaya terbentuk daripada komuniti, dan tabiat baik bermula dari rumah. Maka jelas bahawa kesejahteraan digital remaja tidak dapat dicapai secara bersendirian. Sebaliknya, kita harus memperkasakan ibu bapa untuk memupuk kreativiti sambil menanamkan sikap berwaspada — dengan menggalakkan rutin sihat dan membina perbualan bermakna bersama anak remaja. Bersama-sama, keluarga dapat memperkasakan remaja untuk membina pemikiran kritis dan berkembang menjadi bakat digital masa depan yang berdaya tahan.”

MCMC menegaskan:

Kami mengalu-alukan langkah proaktif TikTok dalam melancarkan Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa, yang melengkapkan Kempen Internet Selamat MCMC, serta menyokong komitmen berterusan Malaysia ke arah ekosistem digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab. Keselamatan dalam talian adalah tanggungjawab bersama yang patut dipikul oleh ibu bapa, platform, industri, dan penggubal dasar. Platform seperti TikTok mempunyai peranan penting dalam melindungi pengguna sambil menghormati hak kanak-kanak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk mengakses maklumat dan menyatakan pandangan mereka dalam cara yang sesuai dengan usia dan selaras dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh standard keselamatan dalam talian. Inisiatif seperti #ThinkTwice melengkapkan keluarga dengan alat, panduan, dan kesedaran praktikal supaya golongan remaja di Malaysia dapat meneroka, belajar, dan berhubung dalam talian dengan yakin dan selamat.”

Panduan #ThinkTwice Ibu Bapa menampilkan tiga tip praktikal bagi menjamin kesejahteraan digital remaja:

  1. Awasi Aktiviti Digital Anak Remaja Anda:
    • Langkah pertama untuk melindungi pengalaman digital remaja adalah dengan memahami aktiviti digital mereka.
    • Melalui ciri ‘Family Pairing’ dalam aplikasi TikTok, akaun ibu bapa boleh dipautkan kepada akaun remaja bagi memberikan gambaran yang lebih jelas tentang aktiviti mereka.
    • Setelah dipautkan, ibu bapa akan menerima notifikasi apabila remaja memuat naik video, ‘story’, atau foto umum.
    • Ibu bapa juga boleh memantau corak penggunaan aplikasi remaja melalui ‘Screen Time Dashboard’.
    • Ini membantu ibu bapa mengikuti perkembangan perjalanan digital remaja dan menentukan masa paling sesuai untuk memulakan perbualan terbuka dengan mereka, tanpa menjejaskan kreativiti atau kebebasan mereka.
    • Prinsip ‘Safety by Design’ TikTok turut memastikan akaun peribadi dengan ciri terhad dipilih secara automatik bagi pengguna di bawah 16 tahun; manakala mereka di bawah 13 tahun dilarang mendaftar akaun.
    • Ibu bapa digalakkan menyemak maklumat serta tetapan akaun remaja secara berkala bagi memastikan pengalaman TikTok kekal positif dan sesuai usia.
  1. Sesuaikan Tetapan Mengikut Pengalaman Digital Remaja:
    • Seterusnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat digital yang sihat menerusi tetapan kawal selia yang sesuai.
    • Ibu bapa boleh menetapkan had masa skrin pada akaun remaja yang dipautkan melalui ‘Family Pairing’, termasuk menjadualkan waktu rehat apabila TikTok tidak boleh digunakan, serta mematikan notifikasi.
    • Ibu bapa juga boleh menetapkan status akaun remaja — sama ada peribadi atau umum — serta memilih siapa yang boleh menghantar mesej langsung atau permintaan mesej kepada remaja.
    • Melalui ciri ‘Manage Topics’, pengguna boleh mengawal dan menyesuaikan kekerapan kandungan daripada lebih 10 topik popular yang disarankan dalam For You Feed (FYF), termasuk seni kreatif, pelancongan, alam semula jadi, sukan dan banyak lagi.
    • Pilihan ini juga dapat dilihat melalui akaun ibu bapa yang dipautkan melalui ‘Family Pairing’.
    • Dengan menggabungkan lebih 50 ciri dan tetapan pada akaun TikTok remaja bersama fungsi ‘Family Pairing’ dan bimbingan aktif, ibu bapa dapat memperkasakan remaja untuk meneroka, mencipta kandungan dan berhubung secara selamat dalam persekitaran digital yang terkawal dan terjamin.
  1. Mulakan Perbualan Tentang Literasi Digital:
    • Akhirnya, kesejahteraan digital boleh dipupuk melalui perbualan yang terbuka dan berterusan antara ibu bapa dan remaja.
    • Penting untuk ibu bapa mendengar secara langsung daripada remaja tentang trend baharu, risiko atau pengalaman tidak selesa yang dialami dalam talian.
    • Ibu bapa boleh menggunakan maklumat daripada ‘Family Pairing’ untuk membuka dialog tentang isu sensitif sambil membantu remaja memahami interaksi selamat dan cara menggunakan fungsi seperti sekatan atau aduan.
    • Perbualan berkala membolehkan ibu bapa menyesuaikan diri dengan perubahan perjalanan digital remaja, termasuk peka terhadap pemintasan atau risiko baharu.
    • Melalui hab pengetahuan #ThinkTwice, ibu bapa dan remaja boleh mengakses sumber untuk memperkukuh literasi digital dan daya pertimbangan — merangkumi topik seperti pencegahan penipuan serta kesedaran kesihatan mental.

Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif literasi digital TikTok #ThinkTwice, sila layari hab pengetahuan dalam aplikasi: https://vt.tiktok.com/ZSHWaAYCVBthr-xiGKC/ 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang ciri ‘Family Pairing’, termasuk panduan yang sistematik, sila layari: https://support.tiktok.com/en/safety-hc/account-and-user-safety/family-pairing