Walaupun sudah berbulan-bulan berlalu, kes simbah asid melibatkan pemain Selangor FC, Faisal Halim, masih jadi tanda tanya. Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain baru-baru ini menegaskan siasatan kes tersebut masih aktif dan belum pernah dihentikan.
Jelasnya, seramai 23 individu telah dipanggil untuk beri keterangan, dan tiga suspek pernah ditahan bagi membantu siasatan. Namun, hasil siasatan terhadap mereka setakat ini tidak menemukan apa-apa bukti kukuh.
“Polis dah buat analisis forensik ke atas telefon bimbit mereka, tapi tiada bukti perbualan atau apa-apa yang kaitkan mereka dengan kes ini. Pemeriksaan akaun bank pun tak ada transaksi mencurigakan atau bayaran upah yang boleh dikaitkan,” kata Razarudin.
Tambah beliau, nombor plat motosikal yang digunakan oleh pelaku pada hari kejadian juga disahkan nombor palsu. Disebabkan itu, polis telah keluarkan fotofit suspek untuk meminta bantuan orang ramai.
“Setakat ini, polis masih menunggu maklumat baharu daripada mana-mana pihak. Kalau ada sesiapa yang nampak sesuatu atau tahu apa-apa, tolonglah tampil bantu siasatan,” tambah beliau lagi.
Artikel berkaitan: “Saya rasa kembali normal” – Topeng Dipakai Faisal Halim Direka Khas Penyelidik UM
Artikel berkaitan: Kurang 100 Hari Dari Insiden Simbah Asid, Faisal Halim Kini Kembali Bermain Untuk Selangor FC
Kes ini bukan saja mengejutkan peminat bola sepak, tapi juga rakyat Malaysia secara amnya. Harapan ramai sekarang adalah agar si pelaku segera ditangkap supaya keadilan untuk Faisal Halim dapat ditegakkan.
Sebelum ini, Exco Pembangunan Sukan Selangor, Najwan Halimi, berkata pihaknya ingin tahu siapakah dalang sebenar di sebalik serangan kejam tersebut.
Tambah beliau, tindakan segera diperlukan kerana insiden ini bukan sahaja melibatkan keselamatan atlet tetapi juga mencerminkan kegagalan menangani isu jenayah secara serius.
“Sampai hari ini, status kes ini masih jadi tanda tanya. Kali terakhir kami dimaklumkan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, telah menghantar surat kepada polis untuk menanyakan perkembangan siasatan selepas usul tergempar mengecam perbuatan ganas ini dipersetujui Dewan Negeri Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Najwan juga berharap pihak PDRM akan mengambil langkah lebih proaktif dengan mendedahkan maklumat kepada khalayak bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang sepatutnya.
Kredit: Sinar Harian