Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang giat menjalankan siasatan berhubung penyebaran imej tular di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan seorang individu memijak Al-Quran.
Menurut kenyataan rasmi MCMC hari ini, pihak mereka sedang bekerjasama rapat dengan penyedia platform media sosial untuk menjejaki pemilik akaun serta berkolaborasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.
Artikel berkaitan: “Saya tak pernah kata hukuman tidak perlu” – Menteri Agama Respon Kecaman ‘Pandang Sebelah Mata’ Isu Pijak al-Quran
Artikel berkaitan: Bapa Tak Tahu Yang Pelajar P*jak Al-Quran Dah Peluk Islam

“Semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan.
Perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” jelas MCMC.
Hasil pemantauan pihak berkuasa mendapati wujud beberapa hantaran lain yang turut mengandungi unsur penghinaan agama, dipercayai dimuat naik oleh individu yang sama dalam sebuah kumpulan media sosial. Kesemua bahan bukti berkaitan telah disimpan bagi tujuan siasatan lanjut.
MCMC turut mengeluarkan peringatan keras kepada orang ramai agar tidak menularkan semula kandungan sensitif yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja. Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada,” ujar kenyataan itu.
Sebelum ini, tular di aplikasi Threads sebuah imej yang menunjukkan Al-Quran dipijak serta diconteng dengan lakaran yang menghina Nabi Muhammad SAW, sekaligus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Sumber: Threads, Astro Awani
