Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mencadangkan supaya tiada dana tambahan disalurkan buat sementara waktu kepada pasukan bola sepak kebangsaan sehingga keyakinan pulih dengan pentadbiran FAM.
Perkara ini dinyatakan Menteri KBS, Hannah Yeoh yang menyatakan langkah itu adalah sebahagian daripada cadangan penambahbaikan berterusan bagi memastikan pembangunan atlet tempatan menjadi keutamaan.

Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan. Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di Dewan Rakyat.
Terdahulu, isu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan telah mencetuskan perbahasan hangat di Dewan Rakyat.
Semasa sesi penggulungan, ahli parlimen dari kedua-dua blok dilihat senada dalam mempersoal reputasi negara selepas dikaitkan dengan skandal berkenaan.
Artikel berkaitan: FIFA Arah FAM Cari Dalang Sebenar Palsukan Dokumen 7 Pemain Warisan
Artikel berkaitan: Isu Pemain Warisan: FAM Terkejut Dengan Keputusan FIFA, Akan Bawa Kes Ke CAS
Permohonan naturalisasi atlet perlu rujuk MSN dulu
Hannah juga pada masa yang sama berkata, bagi cadangan kedua, pihaknya mahu sebarang permohonan naturalisasi atlet atau pemain yang dicadangkan oleh persatuan sukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada masa hadapan perlulah dirujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu.
Ini kerana melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) atau program akar umbi, dana sudah dibelanjakan untuk melahirkan atlet pembangunan yang berkualiti.
“Jadi MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak,” katanya.

Menurutnya, pada November tahun lepas, MSN pernah adakan sesi Townhall bersama kelab bola sepak profesional.
Semasa sesi tersebut, kelab-kelab terbabit sudah dimaklumkan dengan perancangan mereka untuk dapatkan khidmat pemain naturalisasi bagi membantu persiapan pasukan masing-masing.
KBS mahupun MSN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang usaha mereka jika mereka mahu, kerana ia dibenarkan oleh FIFA.
“Jadi kalau mereka mahu pemain warisan, mereka kena ikuti proses yang elok untuk pastikan tiada lagi isu kontroversi seperti ini.
“Ini adalah dua cadangan awal yang saya boleh nyatakan dan KBS akan ambil langkah berkenaan buat masa ini sebelum siasatan diperincikan,” katanya lagi.
Sumber: Berita Harian
