Biarpun terpalit dengan kontroversi kerana ada adegan panas, syarikat penerbitan WebTVAsia mengesahkan bahawa sekuel filem Pulau bakal diterbitkan pada tahun hadapan.
Penerbitnya, Fred Chong berkata kepada Utusan Malaysia, pihaknya kini dalam proses untuk merangka keseluruhan aspek penerbitan filem tersebut termasuk menyenarai pendek barisan pelakon yang akan terbabit untuk filem kedua ini.
“Tidak dinafikan, saya memang sudah bersedia untuk hasilkan sekuel filem itu walaupun sedar Pulau begitu mendapat tentangan daripada sebahagian pengkritik dan penonton tempatan.”
“Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terbitkan sekuel filem itu yang akan menyaksikan kerjasama antara produksi Malaysia dan Indonesia.”
“Kemungkinan kali ini saya akan pilih barisan pelakon yang berbeza melibatkan dua negara. Sudah ada beberapa pelakon yang saya senarai pendek, tetapi belum boleh dimaklumkan lagi.”
Jelas Fred lagi sekuel untuk filem kali ini tidak akan menyajikan kesinambungan daripada naskhah pertama dan sebaliknya tumpu kepada satu kisah cerita yang lebih segar.
“Bagaimanapun untuk saya maklumkan secara terperinci mengenai Pulau 2, rasanya masih belum sesuai. Cuma, apa yang boleh diberitahu, sebagaimana Pulau, saya akan kekalkan elemen kepelbagaian kaum di Malaysia.”
“Tentang hal lain, saya tidak mahu buka mulut lagi. Tahun ini pun saya ada beberapa buah projek filem lain yang perlu diberi tumpuan. Jadi, tunggu tahun hadapan untuk Pulau 2.”
Disamping itu, Fred Chong menyatakan pihaknya sangat teruja dan bangsa kerana filem arahan Euho itu menerima respons yang memberangsangkan di Singapura, Indonesia dan Vietnam. Jelasnya, filem Pulau di Vietnam telah mencatatkan kutipan sebanyak RM400,000 dalam tempoh 4 hari tayangan.
“Ia sesuatu yang positif buat filem kita kerana sebelum ini pun mana-mana tayangan filem Malaysia di negara tersebut tidak pernah mendapat jumlah kutipan sebanyak itu.”
“Jadi bagi saya, ia sesuatu perkembangan yang baik sekali gus menyaksikan betapa orang luar menghargai karya filem anak tempatan.”
“Barisan pelakon yang kami bawa untuk mempromosikan filem ini ke negara-negara tersebut juga meluahkan rasa terkejut kerana menerima sambutan yang sangat mengagumkan daripada penonton luar.”
Terdahulu, filem Pulau mendapat banyak cemuhan dan kritikan kerana didakwa sengaja menyelitkan babak panas dalam naskhah tersebut.
Baca : Isu Adegan Panas Dalam Filem Pulau, FINAS Nafi Beri Kelulusan Tayangan