Sejak Malaysia berjaya memenangi emas pertama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sehingga ke hari ini, rakyat jelata tidak henti-henti memuji dan mengucapkan tahniah kepada para atlet negara. Sudah semestinya mereka digelar hero negara kerana menghadiahkan pingat kepada Malaysia tidak kira emas, perak mahupun gangsa.
Namun, sedarkah kita selain atlet siapa lagi hero sebenar sepanjang sukan berprestij ini berlangsung? Merekalah hero yang tidak didendang, pasukan sukarelawan Sukan SEA!
Pelbagai cabaran dan rintangan mereka lalui terutamanya perlu sentiasa bertenaga untuk menghadapi pelbagai ragam dan kerenah atlet serta penonton.
Pelatih Sukarelawan KL2017, Profesor Madya Dr Jamaluddin Aziz berkata ia merupakan modul penting untuk menjadikan mereka lebih profesional sekaligus menyediakan sukarelawan daripada pelbagai aspek termasuk fizikal, mental dan emosi.
Para sukarelawan menjalani latihan dan diagihkan kerja mengikut pelbagai tugasan sebelum temasya Sukan SEA bermula lagi. Sudah semestinya tanggungjawab paling besar yang mereka perlu galas adalah menjaga imej negara!
Selain itu, mereka jugalah yang bertanggungjawab memastikan setiap acara sukan SEA, majlis perasmian, majlis penutupan dan majlis penyampaian hadiah berjalan dengan lancar.
Namun, apa yang ramai tidak tahu adalah lebih 13,000 orang sukarelawan terpilih untuk temasya ini dan seorang daripadanya merupakan golongan OKU yang berkerusi roda! Kagumnya!
Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor membuka mata ramai orang dengan penglibatannya sebagai sukarelawan.
“Mungkin saya tidak terlibat dalam acara sukan negara sebagai atlet OKU negara, tetapi saya boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk dan tenaga serta idea kepada negara.”
Tidak lupa juga, pasukan paramedik yang sentiasa bersedia untuk memberi bantuan perubatan dan kecemasan kepada para atlet. Ni kira pasukan paling penting ni!
Menurut NST, terdapat lebih 2,000 orang terdiri daripada pasukan medik dan kesihatan serta sukarelawan yang menghulurkan bantuan kepada atlet yang memerlukan di Sukan SEA 2017.
Mereka dikatakan memulakan latihan serta kerja asas pegawai kesihatan dan perubatan sejak tahun lalu dengan mengenal pasti ancaman vektor, memeriksa kualiti air dan keselamatan tempat.
Bukan itu sahaja, sukarelawan kebersihan yang memastikan tempat sentiasa bersih dan teratur juga perlu diberikan pujian! Memang respek lah.
#Rimau pun tolong bersihkan tau!
Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada para sukarelawan yang bertungkus lumus dan mengerah tenaga sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berlangsung! Respek dan tabik dengan mereka semua!
Baca: Atlet Hamil 5 Bulan Raih Pingat Emas di Sukan SEA, Dikritik Netizen Kerana Membahayakan Kandungan