Selalu kita dengar kisah pemandu yang dibawa ke kubur apabila menggunakan sistem navigasi jalan seperti Waze, GPS atau Google Maps pada waktu malam.
Namun, seorang pemandu wanita di Thailand ini pula terpaksa menghadapi detik cemas apabila keretanya tersangkut di sebuah jambatan gantung kecil di wilayah Phrae baru-baru ini selepas mengikut jalan yang diberitahu oleh GPS.
Memetik laporan The Pattaya News, kejadian tersebut disedari oleh seorang penduduk kawasan itu yang mahu melalui jambatan gantung terbabit.

Dia terkejut apabila mendapati terdapat sebuah kereta jenis sedan tersangkut di atas jambatan gantung itu.
Difahamkan, jambatan gantung yang panjangnya 120 meter itu hanya direka untuk digunakan oleh pejalan kaki sahaja dan tidak selamat untuk kereta atau lori.
Rupanya, pemandu wanita itu tersangkut di jambatan itu setelah dia mengikuti jalan yang diberitahu oleh GPS.
Difahamkan juga, wanita itu tak pernah datang atau melalui kawasan terbabit kerana dia tidak tinggal di daerah situ, jadi dia hanya ikut sahaja arahan GPS ketika memandu untuk melawat rakannya di kawasan sekitar itu.
Artikel Berkaitan: Ini Rupanya Wanita Di Sebalik Suara GPS Yang Selalu Kita Dengar Ketika Memandu
Artikel Berkaitan: Ramai Kongsi Pengalaman Waze Kena ‘Hack’ Dengan Hantu, Bawa Jalan Ke Kubur
Menurut pemandu wanita itu lagi, ketika memandu dia hanya fokus pada GPS dan tidak melihat keadaan sekeliling.
Dia juga menganggap bahawa jambatan itu cukup kukuh untuk dilalui oleh keretanya.
Namun, apabila tersangkut, dia memutuskan untuk keluar dari kereta dan meminta bantuan kerana risau akan keselamatannya.
Nasib pemandu itu baik kerana kereta itu berjaya ditarik keluar oleh pihak penyelamat menggunakan dua buah traktor.
Sumber: The Pattaya News
