Dikala rata-rata tukang gunting rambut menggunakan alatan seperti gunting, hair trimmer dan pisau cukur, seorang barber di Lahore, Pakistan ini pula mencipta kelainan apabila mengunakan alatan seperti pisau pemotong daging dan kaca untuk memotong rambut pelanggan di kedainya.
Lebih mengejutkan, tukang gunting ini juga menggunakan blowtorch dan hammer semasa menjalankan tugasnya memotong rambut pelanggan.
Semenjak tahun 2016, teknik unik yang digunakan oleh tukang gunting bernama Ali Abbas ini mendapat perhatian penduduk di Lahore. Kata Ali, inspirasi itu tercetus selepas dia mahu melakukan sesuatu berbeza untuk menarik perhatian pelanggan.
“Setiap hari, saya cuba untuk menghasilkan idea baru semasa menggunting rambut. Bila saya gunting rambut pakai tukul atau pisau, ia seolah-olah satu eksperimen untuk saya dan saya berlatih selama setahun untuk memastikan saya betul-betul mahir,” katanya.
Lapor Bangkok Post, Ali menambah lapisan pada rambut pelanggannya dengan bantuan pisau pemotong daging yang digunakan bersama dengan papan pemotong. Kadangkala, untuk menipiskan rambut pelanggan yang tebal, Ali akan menggunakan serpihan kaca pula.
“Pada awalnya, saya cuba teknik ini pada rambut palsu dan setelah lama berlatih, saya beranikan diri dan cuba pada seorang pelanggan. Dia sangat sukakannya,” kata Ali lagi.
Jelas Ali, dia kini boleh diibaratkan sebagai selebriti segera selepas teknik uniknya itu dipaparkan dalam televisyen. Malah, lelaki itu juga pernah muncul dalam beberapa penggambaran fesyen.
Difahamkan, Ali mengenakan bayaran 2,000 rupee (RM53.49) bagi pelanggan yang mahu menggunakan teknik uniknya semasa sesi pemotongan rambut. Jika ada yang hanya mahukan potongan biasa menggunakan gunting, caj yang dikenakan pula adalah 1,000 rupee (RM26.74). Harga tambahan 500 rupee (RM13.37) pula dikenakan jika ada yang mahukan dandanan extra.
Tambah Ali, dia mempunyai lebih ramai pelanggan wanita berbanding lelaki. Malah, ada pelanggan wanita Ali yang berkata dia sudah tiga kali mendapatkan dandanan rambut di salun milik Ali.
“Saya suka rambut saya dipotong menggunakan pisau pemotong daging kerana rambut saya akan tumbuh lebih cepat selepas itu,” katanya.
Sumber: Insider, Bangkok Post
Baca: “Dah macam doktor dah” – Tukang Gunting Rambut di India Pakai PPE Untuk Potong Rambut Pelanggan