Tahun ini saja, dah banyak kali kita dengar berlaku kejadian banjir bukan hanya di negeri Pantai Timur, malah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Shah Alam juga turut banjir.
Memang ramai penduduk yang kerugian sebab rumah, barangan elektrik dan kereta yang rosak akibat terkena air banjir sampai sekarang ada yang trauma kalau tengok hujan lebat.
Namun, sebuah syarikat di Jepun ini pula dikatakan telah berjaya membina rumah yang akan terapung jika terkena air banjir, lapor Oddity Central.
Rumah dengan rekaan berkenaan telah mendapat perhatian ramai setelah ia tampil dalam salah satu rancangan televisyen di negara matahari terbit itu.
Rumah itu telah dicipta oleh syarikat yang dikenali sebagai Ichijo Komuten dan kru rancangan TV itu telah melawat sendiri ke tapak ujian rumah di mana kediaman itu telah diletakkan dalam situasi simulasi banjir.
Dapat dilihat bahawa rumah itu mula terapung beberapa inci daripada tanah apabila air mula naik di sekitarnya.
Difahamkan, untuk memastikan rumah itu tidak dibawa arus air, ia telah disambungkan dengan batang besi tebal yang ditanam dalam tanah dengan kabel tebal.
Bila banjir surut nanti, rumah itu akan kembali ke kedudukan asalnya.
Selain itu, sistem perpaipan juga ada injap khas yang akan menghalang air daripada masuk ke dalam rumah. Malah, ia juga direka dengan lubang angin yang akan ditutup ketika banjir.
Manakala, barang-barang elektrik seperti penyaman udara pula sengaja dipasang di bahagian atas bangunan rumah agar tak kena air.
Namun, menurut jurutera syarikat itu, apabila banjir nanti, air tidak mungkin sampai ke ketinggian tingkap sebab rumah tu kan mampu untuk terapung lima meter dari tanah.
Lagipun, tingkap, pintu dan sebarang lubang lain akan ditutup dengan rapat, jadi air juga tidak boleh masuk ke dalam rumah.
Kalau la betul rumah ini akan berfungsi seperti yang diiklankan, mesti ia boleh jadi salah satu cara untuk kita hadapi banjir di Malaysia kan.
Sumber: Oddity Central
Baca: “Tak masuk air”- Tuan Rumah Dipuji Genius, Guna Beg Pasir Untuk Elak Rumah Banjir