Susulan kes wartawan sukan, Haresh Deol diserang di Bangsar semalam, pihak polis mengesahkan motif serangan tersebut dipercayai berpunca daripada isu peribadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata semakan mendapati suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 37 tahun adalah seorang penganggur.
Motif serangan setakat ini adalah lebih kepada hal peribadi. Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: Wartawan Senior Didakwa Diserang 2 Individu Tak Dikenali, Fahmi Fadzil Gesa Siasatan Segera
Dalam pada itu, Chang Hook sebelum ini memaklumkan bahawa suspek telah ditahan di Taman Ikan Emas, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 pagi tadi.
Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, pihak polis mengesahkan yang mereka menerima laporan daripada Haresh yang merupakan wartawan portal berhubung kejadian tersebut pada jam 4 petang semalam di Pondok Polis Bangsar.
Haresh juga sebelum ini menerusi hantaran di X memaklumkan bahawa dia diserang oleh dua orang lelaki ketika menuju ke kenderaannya, manakala seorang lagi individu dilihat merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.
Sumber: Berita Harian
