Hari ini sepatutnya menjadi satu detik manis yang diraikan dengan kebahagiaan buat Hani Othman dan suaminya, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa. Genap 10 tahun melayari bahtera rumah tangga, tarikh istimewa berkenaan kini bertukar menjadi sebuah penantian buat Hani selepas suaminya dilaporkan hilang berikutan bencana banjir dan tanah runtuh di kawasan sempadan Nepal-Tibet.
Pegawai Bomba Kanan II yang lebih mesra disapa sebagai Loe itu terdahulu berjanji untuk membawa pulang hadiah ulang tahun perkahwinan mereka.
Artikel berkaitan: “Perbuatan tak berperikemanusiaan” – Polis Nepal Tahan 2 Lelaki Curi Barang Kemas M*yat Ketika Banjir
Artikel berkaitan: Banjir Nepal: ATM Tunggu ‘Lampu Hijau’ Untuk Misi SAR

“Abang patut balik hari ini. Abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun). Nervous (berdebar-debar) laaaa hadiah apa abang nak bagi tahun ini,” luahnya.
Menurut laporan Harian Metro, Hani difahamkan turut menyenaraikan beberapa perancangan terdekat yang sepatutnya dijayakan mereka bersama termasuklah menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada 6 September ini, melengkapkan kursus divemaster di Pulau Tioman menjelang Oktober, serta ekspedisi mendaki Gunung Rinjani pada Mei tahun depan dan Gunung Kilimanjaro pada Ogos berikutnya.
“6/9 kita ada exam SKM TVET tau. Bulan 10 kita patut completekan course divemaster kat Tioman. Bulan 5 abang kena bawa sayang pergi Gunung Rinjani dan bulan 8 kita nak pergi Gunung Kilimanjaro pula,” katanya.
Lebih menyentuh hati, beliau turut menyentuh mengenai impian terbesar suaminya yang belum kesampaian iaitu menjejakkan kaki ke puncak Gunung Everest. Sebelum ini, Hani sudah berjanji akan menjalani latihan fizikal bersama dan menemani suaminya sehingga ke puncak tertinggi dunia itu.
“Sayang dah cakap dengan abang kan kita akan ‘training’ (berlatih) sama-sama dan sayang akan teman abang kali ini sampai ke puncak Everest.
Impian abang nak ke puncak Everest tak settle (selesai) lagi ni tau. Tolonglah abang… where are you? (di mana awak?),” katanya lagi.
Loe merupakan antara rakyat Malaysia yang gagal dihubungi selepas kawasan lembah yang didiami mereka terjejas akibat banjir kilat. Dalam ekspedisi sama, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul, turut dilaporkan hilang dan usaha pencarian kini masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sumber: Harian Metro
