in

“Superhero sebenar” – Berani Pertaruh Nyawa, Orang Awam Berjaya Tarik Keluar 2 Mangsa Kebakaran Di Klang

Syaz Ft 28

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Keberanian dan tindakan pantas orang awam sekali lagi menjadi penyelamat dalam detik cemas apabila sebuah rumah kedai tiga tingkat di Taman Bayu Perdana, di sini, musnah terbakar dalam kejadian petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, kepulan asap tebal dan api marak di tingkat dua premis berkenaan mengejutkan orang ramai yang berada di kawasan sekitar.


Menceritakan semula detik cemas itu, Rahfidah Ibrahim memberitahu suaminya, Rahmat Burhan, tidak teragak-agak meletakkan keselamatan diri ke tepi sebaik menyedari tanda-tanda awal kebakaran tersebut.

Artikel berkaitan: Kebakaran Jejas 107,000 Hektar Kawasan Hutan, Indonesia Dakwa Tiada Negara Jiran Lapor Terjejas Jerebu

Artikel berkaitan: Hampir 1,000 Rumah Musnah, Kerajaan Tanggung Ganti Dokumen Mangsa Kebakaran

“Masa tu kami perasan ada bau asap tebal. Bila tengok dekat bahagian atas rumah kedai tu, api dah mula marak. Suami saya tak fikir panjang, dia terus pesan dekat saya suruh hubungi 999.

Tengok-tengok dia dah lari dan terus lompat pagar dawai untuk panjat ke bahagian tingkap premis tu sebab tahu ada mangsa dekat dalam,” katanya kepada Lobak Merah.

Tindakan pantas Rahmat bersama beberapa orang awam di lokasi kejadian akhirnya berjaya membawa keluar dua mangsa yang terperangkap sebelum situasi menjadi lebih berbahaya.

Dua mangsa yang berjaya diselamatkan itu bagaimanapun mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal dan terus dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk menerima rawatan lanjut.

Dua Mangsa Ditemui Maut Dalam Tandas

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 5.51 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang digegaskan ke lokasi dan tiba lapan minit kemudian bagi mengawal kebakaran yang dianggarkan memusnahkan 90 peratus tingkat dua bangunan kelas A tersebut.

“Berdasarkan maklumat keluarga, terdapat empat mangsa di dalam bangunan berkenaan dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.33 petang, pemeriksaan lanjut mendapati dua lagi mangsa terperangkap di dalam tandas berasingan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Ashrul Riezal, dua mangsa yang terkorban dikenalpasti  seorang lelaki dewasa berusia 66 tahun dan anak saudaranya, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada Unit Forensik PDRM pada jam 10.15 malam untuk tindakan lanjut.

Punca sebenar kebakaran kini masih dalam siasatan pihak Forensik Kebakaran JBPM bersama Unit K9 JBPM, dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 10.05 malam.

Tindakan berani Rahmat dan orang awam yang terlibat kini mendapat pujian ramai kerana keprihatinan mereka berjaya menyelamatkan dua nyawa daripada tragedi yang lebih menyayat hati.

Sumber: Facebook, Utusan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.