Tular di media sosial rakaman video seorang lelaki yang dipercayai merupakan seorang peniaga menyerang aktivis yang sedang melakukan siaran langsung di TikTok berhubung isu peniaga warga asing di Pusat Bandar Utara Selayang.
Dalam rakaman tersebut, lelaki terbabit bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap aktivis dan menuduh mereka dihantar oleh pihak-pihak tertentu untuk mengacau peniaga-peniaga di sana.
Malah, dia juga bertindak agresif dengan menghampiri rakan aktivis sebelum menolak dan cuba untuk menumbuk di hadapan orang ramai.
Artikel berkaitan: “Lebih masyuk daripada warga tempatan” – Individu Pertikai Warga Asing Selamba Berniaga Di Kawasan Parkir Motor
Artikel berkaitan: [VIDEO] Lelaki Berang Tindakan Warga Asing Selamba Berniaga Di Bahu Jalan Sekitar Pasar Selayang
Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan polis untuk siasatan lanjut selepas aduan dibuat oleh pengadu pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau dan tiga rekod berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (sengaja menyebabkan cedera), Seksyen 506 akta sama (ugutan jenayah) dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang),” katanya.
Difahamkan, siaran langsung yang diadakan oleh aktivis di kawasan itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peraturan perniagaan serta tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dalam mengawal aktiviti perniagaan oleh warga asing.
Sumber: Berita Harian
