Satu kejadian luar biasa mencetuskan kebimbangan penduduk apabila kira-kira 900 ekor ular dilaporkan terlepas dari sebuah ladang ternakan di Hengzhou, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, Selatan China selepas kawasan itu dilanda banjir besar akibat cuaca ekstrem.
Menurut laporan media tempatan, ratusan ular termasuk ular tedung berbisa dipercayai melarikan diri selepas ladang ternakan di Kampung Dengwei musnah dan dihanyutkan arus banjir.
Tular beberapa rakaman video di media sosial, memaparkan ratusan ular berkeliaran di kawasan sekitar, berdekatan kawasan penduduk.
Ada penduduk mendakwa beberapa individu yang terperangkap di kawasan banjir telah dipatuk ular dan berdepan kekurangan bekalan perubatan serta rawatan.
View on Threads
“Kejadian ini berlaku pada 6 Julai. Berdasarkan anggaran awal, sekitar 800 hingga 900 ekor ular terlepas selepas ladang itu dihanyutkan banjir,” kata Ketua Jawatankuasa Kampung Dengwei, Wu Zhi
Menurutnya, setakat ini seorang penduduk kampung disahkan dipatuk ular dan sedang menerima rawatan kecemasan di hospital.
Wu berkata, bukan semua ular yang terlepas itu berbisa, sambil menambah sebahagian besar daripadanya merupakan ular air yang tidak berbisa.
Artikel berkaitan: “Terburuk dalam 1000 tahun” – China Dilanda Banjir Besar, Air Naik Sampai Paras Dada Dalam Gerabak Tren
Artikel berkaitan: Cikgu Cantik Dipuji Sanggup Gendong Pelajar Kerana Takut Dipatuk Ular Ketika Banjir
Sementara itu, seorang penternak dikenali sebagai Lei berkata jumlah ular yang terlepas dari ladang-ladang kecil di situ mungkin jauh lebih besar daripada anggaran awal.
Ladang-ladang di situ kebanyakannya menternak tiga jenis ular iaitu ular tedung, ular tikus raja dan ular air, dengan ular tedung merupakan spesies berbisa.
Bagaimanapun, dia percaya sebahagian besar ular ternakan itu berkemungkinan mati selepas terendam dalam air untuk tempoh yang lama.
Ekoran itu, anggota penyelamat telah dikerah bagi menangani situasi tersebut disebabkan kehadiran ular-ular berkenaan menimbulkan ancaman kepada keselamatan penduduk.
Sumber: CNN Indonesia
